Saturday, April 27, 2024
Home Sukan FAM perlu siasat pengadil – JDT

FAM perlu siasat pengadil – JDT

JDT
JDT

KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) meminta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi penjelasan berhubung kedudukan Fitri Maskon yang mengadili aksi Liga Super antara JDT dan Felda United di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam Jumaat lau.

Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards berkata, sekiranya benar apa yang diperkatakan sesetengah penyokong, badan induk bola sepak negara itu perlu bertanggungjawab atas kelemahan tersebut.

“Jika betul apa yang diperkatakan, maka kami kesal dengan prosedur FAM dalam pemilihan pengadil perlawanan dan ia perlu diubah. Semestinya ia tidak bagus ataupun profesional buat FAM.

“FAM perlu ada sikap lebih bertanggungjawab bagi mengelak kejadian seperti itu berulang dan harus lebih peka,” katanya menerusi satu kenyataan dalam akaun Facebook rasmi JJohor Southern Tigers.

Dalam aksi tersebut, skuad Harimau Selatan menewaskan Felda 3-1 dengan dibayangi tiga layangan kad merah kepada tiga pemain pasukan pelawat Zahril Azri Zabri, Thiago Junior dan kapten Hadin Azman sekali gus menimbulkan kritikan peminat-peminat bola sepak tempatan.

Jelasnya lagi, tindakan Fitri melayangkan tiga kad merah bukan isu kerana ketiga-tiga pemain Felda melakukan kesalahan dan sewajarnya menerima hukuman.

“Terdapat banyak komen tentang pengadilan, terutamanya tiga kad merah untuk pasukan Felda. Adakah ini hanya satu isu disebabkan ia adalah pasukan lawan JDT?.

“Jikalau anda mengatakan pengadil tersebut berat sebelah maka adakah anda juga mengatakan bahawa seorang pemain boleh mengasari pemain lawan dari belakang, membuang masa perlawanan dan menolak pegawai perlawanan?

“Saya mempersoalkan ini kerana ketiga-tiga kad merah adalah kesalahan kad kuning kedua selepas pemain-pemain berkenaan melakukan kesalahan yang sewajarnya dikenakan hukuman,” jelasnya. – MalaysiaGazette