Jho low
Low Taek Jho

PETALING JAYA – Jho Low yang sedang dikehendaki polis dipercayai hidup secara ‘nomad’ di beberapa bandar di China termasuk Hong Kong, Macau, Shanghai, Shenzhen, Beijing dan Pulau Hainan.

Sinchew Daily melaporkan, Polis Diraja Malaysia kini sedang bekerjasama secara proaktif dengan pihak polis China untuk menjejaki suspek kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang akan melawat China pada akhir bulan ini dijangka akan meminta Beijing mempergiatkan usaha untuk menjejak Jho Low.

Yang peliknya, menurut akhbar itu, polis China dikatakan masih gagal mengenal pasti kedudukan Jho Low setakat ini.

Pasportnya telah dibatalkan pihak Malaysia dan dia juga diletakkan dalam senarai orang dikehendaki Polis Antarabangsa (Interpol).

Menurut laporan, Jho Low mempunyai kedudukan pemastautin di Hong Kong dan sebuah syarikatnya di situ juga beroperasi seperti biasa.

Dia juga mempunyai hartanah di luar negara termasuk kediaman mewah di Hong Kong.

Walaupun pernah dilaporkan bahawa Jho Low muncul di Bangkok, tetapi pihak berkuasa Thailand tidak memaklumkan kemunculan suspek rakyat Malaysia itu.

Dalam perkembangan lain, Sinchew Daily turut melaporkan bahawa Tun Daim Zainuddin telah bertolak ke China untuk memuktamadkan rundingan mengenai projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) sebelum menyaksikan majlis menandatangani perjanjian untuk melaksanakan projek itu. – MalaysiaGazette