Logo UEM Sunrise pada Lawatan Pengenalan Media mengenai UEM Sunrise's Iskandar Puteri dan Singapore Property Sales Gallery di UEM Singapore Property Gallery, Singapura. foto IQBAL BASRI, 18 APRIL 2019

ISKANDAR PUTERI – UEM Sunrise Bhd. (UEM Sunrise) masih mencari rakan kongsi bagi membangunkan projek-projek hartanah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM8.4 bilion di Durban, Afrika Selatan.

Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan rakan kongsi berpotensi dari negara tersebut dan berharap dapat dimuktamadkan pada tahun ini.

MGF17042019_UEM Iskandar Puteri_18
Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise Berhad, Anwar Syahrin Abdul Ajib. foto IQBAL BASRI, 17 APRIL 2019

“Kami tidak berkeyakinan untuk menjayakan projek tersebut bersendirian dan dengan itu kami mencari rakan kongsi daripada syarikat tempatan kerana mereka lebih mahir dari segi ekosistem, mempunyai rangkaian serta pembekal tempatan,” katanya semasa lawatan media ke projek hartanah UEM Sunrise ke Iskandar Puteri dan Singapura baru-baru ini.

Menurut Anwar Syahrin, UEM Sunrise mempunyai pemilikan secara usahasama sebuah tanah pembangunan bercampur berkeluasan 12.43 hektar berhadapan pantai di Durban.

Tambahnya, pemaju hartanah anak syarikat Kumpulan UEM itu berminat untuk melaksanakan projek pembangunan hartanah seperti kediaman, hotel dan pusat komersial di sana.

Menurut Anwar, Durban terletak di lokasi strategik dan dikelilingi kawasan pertumbuhan ekonomi yang rancak.

Tambahan pula, Durban adalah sebuah pelabuhan kargo terbesar di Afrika Selatan dan salah satu daripada pelabuhan paling sibuk.

“Tanah kami terletak berhampiran pelabuhan dan itu merupakan kelebihan kepada UEM Sunrise.

“Pertumbuhan ekonomi juga sangat rancak, banyak pengeluar kenderaan jenama terkemuka seperti BMW, Toyota dan Lexus beroperasi di situ,” katanya lagi.

MGF18042019_UEM Singapore_013
Menara berkembar Duo adalah salah satu projek UEM Sunrise di Singapura. foto IQBAL BASRI, 18 APRIL 2019

Selain Afrika Selatan, UEM Sunrise juga mempunyai projek di Australia dan Singapura.

Katanya, disebabkan pasaran agak lembap ketika ini, UEM Sunrise mengambil langkah berhati-hati sebelum melancarkan sesuatu projek.

Namun begitu, ianya tidak menghalang syarikat tersebut terus aktif merebut peluang lagi di dalam mengembangkan perniagaannya.

Di Australia contohnya, Anwar Syahrin berkata, pasaran lembap itu membuka peluang kepada UEM Sunrise untuk menambah pemilikan hartanah di negara tersebut.

“Ini peluang untuk kami membeli tanah pada harga yang lebih kompetitif kerana ramai yang terdesak untuk menjual pegangan mereka.

“Sebagai langkah strategik pada masa hadapan pula, syarikat tetap akan membangunkan projek kediaman khususnya bangunan bertingkat yang akan memberi fokus kepada pelanggan tempatan di Australia pada harga yang lebih rendah,” katanya.

MGF18042019_UEM Singapore_03
Ketua Pemasaran UEM Sunrise, Sharon Teo foto IQBAL BASRI, 18 APRIL 2019

Sementara itu, Ketua Pemasaran, Sharon Teo ketika membuat pembentangan mengenai projek-projek hartanah UEM Sunrise di Singapura berkata, syarikat tersebut tidak mempunyai perancangan untuk melancarkan projek baharu dalam masa terdekat selepas berjaya menyempurnakan dua projek iaitu Duo dan Marina One.

Kedua-dua projek yang siap pada 2017 telah mencapai kadar kependudukan sebanyak 97 peratus.- MalaysiaGazette