Katleri yang digunakan dalam kelas perniagaan Cathay Pacific. foto Agensi

HONG KONG – Enam anak kapal Cathay Pacific Airways Ltd. disiasat selepas didapati membawa balik barang-barangan dalam pesawat semasa pemeriksaan dilakukan di lapangan terbang.

Barang-barang tersebut termasuk kutleri, aiskrim dan arak.

Pemeriksaan itu dilakukan oleh Bahagian Keselamatan Cathay Pacific selepas syarikat itu mengalami kehilangan barangan dalam pesawat hingga menyebabkan syarikat terpaksa menanggung kerugian.

Sebelum ini, Cathay Pacific telah memberi amaran mengenai kehilangan barang dalam pesawat dan memaklumkan pemeriksaan akan dilakukan di lapangan terbang.

“Berhubung peningkatan kehilangan harta-harta syarikat, kami telah memaklumkan bahawa pemeriksaan secara rawak akan dilakukan,” kata jurucakap syarikat kepada South China Morning Post sambil memberitahu kes itu disiasat secara adil dan munasabah mengikut prosedur dalaman.

Pengurus Besar Bahagian Perkhidmatan dalam Penerbangan, Ed Higgs berkata, pekerja akan diperiksa oleh pasukan keselamatan sebelum meninggalkan kapal terbang “untuk apa-apa barang yang mungkin ada di simpan,” katanya.

Salah satu barang yang paling popular dibawa balik adalah ais krim Häagen-Dazs mangkuk kecil yang dihidangkan dalam penerbangan.

Beberapa anggota krew kabin dikatakan mempunyai stok aiskrim itu yang ditempatkan dalam peti beku besar di rumah.

Enam kakitangan itu ditahan itu termasuk pekerja baharu dan lama.

Mereka sedang disiasat dan akan dikenakan tindakan disiplin termasuk diberhentikan.

Ia bukan kali pertama kejadian ini berlaku kerana seorang kakitangannya pernah diberhentikan kerja selepas didakwa mencuri kacang, sebotol air dan majalah dalam pesawat.

Namun kakitangan itu bertindak menyaman syarikat penerbangan kerana memfitnahnya dan menang dengan ganti rugi berjuta dolar. – MalaysiaGazette