KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil sekitar 4.10 dan 4.15 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku kedua 2019 (Q2 2019).

Penganalisis pasaran FXTM Han Tan berkata unjuran itu didorong oleh pertumbuhan ekonomi, inflasi terkawal dan penggunaan domestik yang mantap dengan kesemua faktor tersebut dijangka memberi asas kukuh untuk ringgit sepanjang tahun ini.

“Bagaimanapun, sebahagian besar momentum jualan ketara pada minggu kini suram,” katanya pada sesi taklimat media mengenai prospek ringgit untuk tempoh Q2 2019 di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Tan berkata bagi tempoh suku pertama (Q1), ringgit mencatat prestasi ketiga terbaik di Asia dan merupakan pemain ketujuh pasaran baharu terbaik dalam tempoh sama.

Ringgit juga mengukuh berbanding dolar AS pada Q1 walaupun terdedah kepada faktor luaran seperti dolar AS yang lebih berdaya tahan, ketegangan akibat pertikaian dagangan AS-China dan jangkaan kelembapan ekonomi China.

Malah, kebimbangan perang perdagangan AS-China yang semakin reda turut membantu memacu prestasi ringgit serta mata wang Asia lainnya.

“Namun, pada pertengahan April, laporan berita utama mengenai kemungkinan Malaysia diturunkan penarafan daripada Indeks Bon Kerajaan Dunia FTSE Russell World serta tindakan dana kekayaan Norway melepaskan pegangannya, berkemungkinan mendorong aliran keluar (dana) serta mengekang peningkatan ringgit berbanding dolar AS dalam tiga bulan lepas,” katanya.

Sementara itu, kelompok mata wang lima ekonomi utama ASEAN iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand dan Singapura dijangka terus mencatat peningkatan berbanding dolar AS pada Q2 berikutan prestasi lebih baik pada 2019, setakat ini.

Menurut Tan berkata, negara tersebut akan mendapat sokongan ekonomi China yang memaparkan tanda-tanda stabil meskipun beberapa ekonomi utama ASEAN itu sebaliknya memiliki penampan dasar rizab asing yang mencukupi daripada risiko penyusutan harga.

“Jika perjanjian dagangan AS-China dapat dimeterai pada pada suku ini (Q2), ia akan dilihat sebagai pendorong bagi mata wang ASEAN meningkat. Bagaimanapun, wujud risiko aliran peningkatan yang terhad kerana pelabur telah menjangkakan kemungkinan mengenai perjanjian perdagangan itu sejak beberapa bulan lepas,” katanya.

Selain itu, mengulas risiko keseluruhan bagi tahun penuh 2019, beliau berkata ekonomi global kekal cenderung untuk susut di tengah-tengah cabaran persekitaran seperti penurunan ekonomi Eropah, ketidakpastian membabitkan tindakan Brexit serta kemungkinan berlakunya ketegangan perdagangan global AS-Eropah.

“Walaupun sentimen pelabur dijangka lebih kepada bertahan dalam beberapa bulan akan datang, mereka mungkin sudah bertindak memperbetulkan unjuran dalam tempoh memasuki separuh kedua tahun ini,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan