MANCHESTER – Pengendali Manchester City Pep Guardiola kagum dengan aksi anak buahnya selepas mencatat kemenangan 2-0 menentang Manchester United awal pagi tadi.

Kemenangan itu meletakkan penyandang juara liga itu di kedudukan teratas liga, satu mata di depan Liverpool dengan saingan berbaki tiga perlawanan.

City kini bangkit selepas tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara dengan dua kejayaan penting dalam pemburuan gelaran liga.

City tersingkir daripada saingan Eropah selepas tewas menerusi gol di tempat lawan kepada Tottenham Hotspur dalam perlawanan penuh dramatik minggu lalu.

Namun mereka berjaya menewaskan Spurs dalam saingan Liga Perdana pada Sabtu lalu.

Pada perlawanan di tempat lawan itu, Bernardo Silva membuka jaringan untuk City pada minit ke-54 sebelum pemain gantian Leroy Sane melebarkan jurang pada minit ke-66 aksi di Old Trafford itu.

Kemenangan dalam perlawanan bertemu United itu adalah yang ke-11 berturut-turut City dalam saingan Liga Perdana, satu lagi musim hebat dengan persembahan berkualiti dan konsisten yang menyusul selepas kejayaan tahun lalu. – MalaysiaGazette