KUALA LUMPUR – Perancangan Menteri dan Sukan (KBS), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk membawa masuk kumpulan K-Pop terkenal, BTS bagi mempromosi Tahun Melawat Malaysia terus dibidas pelbagai pihak.

Terbaharu, Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan melahirkan rasa terkejut, terkilan dan kecewa dengan cadangan Ahli Parlimen Muar itu yang pada mereka sebenarnya sesuatu tidak boleh langsung diterima.

Malah, Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi berkata Syed Saddiq sebenarnya ‘celaru’ kerana sudah tidak pasti sebenarnya tanggungjawab serta peranannya sebagai menteri.

“Ini bukan tugas menteri hendak bawa masuk artis luar negara ke Malaysia, itu kerja penganjur serta promoter. Bukan anda Syed Saddiq.

“Lagipun bukankah ada baiknya jika kita mempromosikan artis kita sendiri sempena Tahun Melawat Malaysia. Sebenarnya seandainya Syed Saddiq tidak tahu, kita artis tempatan kita sendiri juga mempunyai pengikut dan peminat di luar negara.

“Saya beri anda contoh, seperti Datuk Sheila Majid, Datuk Siti Nurhaliza, kumpulan Wings, Search, Wings, Exist. Yang sebut ini sebenarnya hanya sedikit, ada banyak lagi. Dan rata-rata mereka sudah ada peminat luar seperti Singapura, Indonesia, Filipina dan sebagainya.

“Kita ada juga artis dalam kalangan Cina dan India di negara yang juga ada peminat mereka di luar sana, mengapa kita tidak promosi dalam ‘bigger scale’ untuk mereka ini jika ada peruntukan? Mengapa bawa K-Pop?,” katanya kepada MalaysiaGazete sebentar tadi.

MGF14032019_Persidangan Meja Bulat Belia_12Kata Mohamed Nizham, pihaknya sebenarnya tidak membantah usaha untuk mempromosi Tahun Melawat Malaysia pada para belia di dalam dan luar negara, namun konsert dari kumpulan-kumpulan muzik luar negara bukanlah urusan KBS dan lebih baik diserahkan pada pihak swasta.

Beliau mengulas kenyataan Syed Saddiq beberapa hari lepas KBS kini dalam usaha membawa masuk kumpulan K-Pop terkenal, BTS ke Malaysia untuk membuat persembahan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 dengan kerjasama Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia, Tan Sri Tony Fernandes.

Jelas Mohamed Nizham lagi, sebenarnya agak retorik idea membawa masuk kumpulan BTS ini apatah lagi selama ini kerajaan Pakatan Harapan (PH) sering mencanangkan keadaan negara yang begitu terjejas dengan bebanan hutang negara.

“Dengan hutang negara yang begitu meruncing, mengapa kita perlu membayar duit yang banyak untuk membawa masuk artis luar negara seperti ini? Bukankah jauh lebih baik jika kita jimat sahaja duit dengan bagi peluang kepada artis dalam negara?

“Lagipun ini sudah tidak seiring dengan hasrat manifesto PH yang mahu menjimatkan duit kerajaan dengan tidak melaksanakan sesuatu yang dianggap satu pembaziran. Sepatutnya, KBS lebih fokus dengan perkara-perkara meruncing  kemerosotan prestasi atlit dalam acara seperti bola sepak, hoki atau badminton yang lain-lain.

“Fokus juga perlu pada penambahbaikan fasiliti-fasiliti sukan seluruh negara, di mana ada sebahagiannya dalam keadaan rosak teruk sehingga tidak boleh digunakan. Hiburan bukanlah satu fokus dalam merencana Tahun Melawat Malaysia.

“Seharusnya fokus kepada sektor pelancongan eko dan budaya. Malaysia kaya dengan alam semulajadi, budaya, warisan, pelbagai makanan istimewa, taman tema, pusat membeli-belah dan sebagainya yang dapat menarik kunjungan pelancong dalam dan luar.

“Juga selain isu ini, seharusnya memberi tidak hanya memberi tumpuan kepada pelancong luar tetapi juga tumpuan kepada pelancong domestik juga. Pelancongan domestik ini seperti kita galakkan orang Negeri Sembilan pergi melawat Pulau Pinang, atau orang Kelantan melawat Sabah dan Sarawak dan begitu juga di negeri lain.

“Bagi pengetahuan KBS atau Yang berhormat Menteri, sektor pelancongan menyumbang 15 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Oleh itu saya mencadangkan agar KBS dapat merancang satu program sukan berteraskan pelancongan domestik daripada merancang satu program hiburan,”ujarnya.

Cadangan ini juga mendapat kritikan artis tempatan seperti vokalis kumpulan Wings, Datuk Ahmad Azhar Othman atau lebih dikenali sebagai Awie yang melahirkan rasa tidak puas hatinya dalam laman sosial Facebook beliau.

Awie menyifatkan menteri seperti itu seolah-olah mahu menutup ‘periuk nasi’ warga seni walaupun berdepan dengan masalah ekonomi negara ketika ini.

Sebaliknya kata Awie seharusnya kerajaan dan pihak berwajib menunjukkan tanda sokongan dan kasih sayang terhadap budaya dan bangsa daripada mengagungkan artis luar negara sehingga warga seni di negara sendiri diabaikan. –MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/26/perlu-berani-fikir-luar-kotak-syed-saddiq-nak-ubah-trend/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/26/daripada-bawa-k-pop-lebih-baik-tumpu-nasib-industri-hiburan-negara-seniman/