Tentera mengawal kawasan tokong di Sri Lanka sebagai langkah-laangkah keselamatan. foto ABC News

DUBAI – Ketibaan pelancong di Colombo diramal susut sebanyak 50 peratus dalam dua bulan akan datang susulan pengeboman yang berlaku pada Easter Sunday yang mengorbankan lebih daripada 250 orang, menurut Biro Pelancongan Sri Lanka, Kishu Gomes.

Manakala ketibaan pelancong di kawasan di luar Colombo mungkin jatuh sebanyak kira-kira 30 peratus akibat serangan itu, kata Gomes kepada wartawan pada persidangan pelancongan di Dubai.

Sri Lanka dijangka menghadapi kehilangan hasil pelancongan sekitar AS$750 juta tahun ini.

Ketua Eksekutif SriLankan Airlines, Vipula Gunatilleka memberitahu, jumlah pembatalan penerbangan minggu lalu meningkat kepada 10 peratus dan angka itu dijangka bertambah.

Sektor pelancongan menjunam selepas gereja-gereja dan hotel dibom, memberi tamparan hebat kepada pasaran ekonomi dan kewangan negara,

Kemungkinan Sri Lanka perlu mendapatkan bantuan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa.

Pelancongan adalah sumber mata wang asing ketiga terbesar dan terpantas di Sri Lanka tahun lepas, selepas kiriman wang swasta dan eksport tekstil dan pakaian, menyumbang hampir AS$4.4 bilion atau 4.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2018.

Gomes berkata, biro pelancongan mensasarkan 2.5 juta pelancong pada tahun ini. – MalaysiaGazette