Bangunan Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia mencatatkan peningkatan semula hari ini dengan indeks utama ditutup kukuh di atas paras sokongan penting 1,600 mata, didorong pembelian semasa harga rendah selepas penurunan ketara semalam.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup 12.24 mata lebih tinggi kepada 1,611.43 apabila para pelabur secara aktif membeli ekuiti yang mengalami penurunan termasuk saham berwajaran tinggi dan berharga rendah.

Indeks penanda aras itu dibuka 2.24 mata lebih tinggi kepada 1,601.43 daripada 1,599.19 ketika ditutup pada Selasa, dan bergerak antara 1,601.04 dan 1,617.43 sepanjang dagangan hari ini.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 599 berbanding 276, manakala 350 kaunter tidak berubah, 686 kaunter tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.

Jumlah dagangan bagaimanapun susut kepada 2.55 bilion saham bernilai RM2.12 bilion daripada 2.82 bilion saham bernilai RM2.46 bilion semalam.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management, Asia Pasifik, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata prospek teknikal jangka pendek menunjukkan FBM KLCI berada dalam situasi amat terlebih jual dan seharusnya merekodkan peningkatan berterusan yang bersifat pembetulan.

“Kami menjangkakan indeks itu akan mengalami peringkat peningkatan semula terlebih jual susulan ketegangan perdagangan yang reda memandangkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengatakan perang perdagangan itu sewajarnya diharapkan berakhir dalam tempoh “tiga atau empat minggu”, yang akan memulihkan keadaan para pelabur,” katanya kepada Bernama. .

Beliau berkata paras rintangan serta-merta adalah pada sekitar 1,650 mata, diikuti 1,700 mata.

Nazri Khan berkata situasi penurunan semasa itu juga mewakili peluang belian baik bagi saham tempatan kerana tiada petanda menunjukkan penurunan jumlah dagangan Malaysia meskipun ketegangan perdagangan AS-China itu berlangsung selama dua bulan.

“Setakat ini, Bursa Malaysia menunjukkan kesan sederhana susulan kebuntuan perdagangan antara AS dan China, walaupun ketegangan yang tidak dapat diselesaikan itu boleh menimbulkan perang ekonomi yang lebih luas.

“Situasi semasa menunjukkan persekitaran pasaran tidak menentu telah menyebabkan pelabur mengurangkan portfolio pelaburan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata ini terutama selepas AS menaikkan tarif ke atas pada barangan China bernilai US$200 bilion minggu lepas.

Nazri Khan berkata sektor perbankan dijangka dapat menyerap impak serta-merta itu, ini kerana bank perlu menyesuaikan kadar deposit dan pinjaman mereka malah berdasarkan “daripada perspektif asas pendapatan dalam industri perbankan mungkin mengalami penurunan sementara.”

Walaupun ringgit susut, beberapa sektor masih menunjukkan daya tahan terhadap prestasi lemah itu, yang secara tidak langsung akan meningkatkan sentimen pelabur.

Sementara itu, sektor komoditi menunjukkan kestabilan harga sekitar US$70 hingga US$75 setong bagi minyak mentah.

“Ini memberi kesan positif kepada negara yang mengeluarkan minyak seperti Malaysia,” katanya.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata harapan semakin meningkat terhadap lebih banyak langkah rangsangan akan dilaksanakan China kerana beberapa petunjuk seperti Pelaburan Aset Tetap, Pengeluaran Perindustrian dan Jualan Runcit telah merekodkan data sederhana pada April.

“Pada masa ini, kita yakin pasaran ekuiti akan kekal berhati-hati dan prestasi kewangan korporat yang diumumkan setakat ini tidak benar-benar memberangsangkan.

“Oleh itu, kami menjangkakan dagangan dalam jajaran kecil akan berlaku memandangkan pasaran memantau perkembangan krisis perdagangan AS-China,” katanya.

Antara saham berwajaran tinggi, Axiata menambah 12 sen kepada RM4.42, Dialog naik 21 sen kepada RM3.28, Digi meningkat 13 sen kepada RM4.70 dan Hartalega menokok 27 sen pada RM5.26.

Maybank menambah lima sen kepada RM9.01 dan Top Glove naik 19 sen kepada RM4.97.

Bagi saham yang didagangkan secara aktif, Bumi Armada meningkat setengah sen kepada 19.5 sen, Vortex menokok tujuh sen kepada 27.5 sen dan Lambo turun setengah sen kepada 7.5 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 94.44 mata kepada 11,353.17, FBMT 100 naik 90.18 mata kepada 11,186.89 dan FBM 70 menokok 133.69 mata kepada 13,950.14.

Indeks FBM Emas Syariah melonjak 148.82 mata kepada 11,525.72 dan Indeks FBM Ace menambah 53.34 mata kepada 4,448.49.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 40.59 mata kepada 16,578.79, Indeks Perladangan meningkat 19.30 mata kepada 6,932.59 dan Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.60 mata kepada 164.51.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 1.35 bilion saham bernilai RM1.94 bilion daripada 1.81 bilion saham bernilai RM2.30 bilion semalam.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 371.31 juta unit bernilai RM94.57 juta daripada 390.11 juta unit bernilai RM97.75 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE melonjak kepada 829.93 juta saham bernilai RM85.58 juta daripada 618.18 juta saham bernilai RM61.04 juta sebelumnya.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 285.20 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan perindustrian (117.00 juta), pembinaan (205.00 juta), teknologi (109.09 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (52.50 juta), hartanah (92.70 juta), perladangan (26.15 juta), REIT (10.12 juta), dana tertutup (7,000), tenaga (316.33 juta), penjagaan kesihatan (66.42 juta), telekomunikasi dan media (29.50 juta, pengangkutan dan logistik (15.03 juta) dan utiliti (25.09 juta). – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan