Donald Trump. foto Agensi

WASHINGTON – Donald Trump telah mengisytiharkan darurat bagi melindungi rangkaian komputer Amerika Syarikat daripada “musuh-musuh asing”.

Presiden Amerika Syarikat itu menandatangani perintah eksekutif yang secara efektif menghalang syarikat-syarikat negara ini daripada menggunakan telekomunikasi asing yang dipercayai menimbulkan risiko keselamatan kepada negara.

Trump tidak namakan mana-mana syarikat khusus dalam perintah itu.

Namun, para penganalisis percaya arahan itu ditujukan kepada syarikat telekomunikasi gergasi China, Huawei.

Beberapa negara – termasuk Amerika Syarikat telah menimbulkan kebimbangan bahawa produk syarikat itu dipercayai digunakan oleh China sebagai pengawasan.

Bagaimanapun, Huawei menegaskan operasinya tidak menimbulkan sebarang ancaman.

Perintah itu muncul ketika perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China semakin meningkat.

Menurut kenyataan White House, perintah Trump itu bertujuan untuk “melindungi Amerika daripada musuh-musuh asing yang aktif dan semakin mencipta dan mengeksploitasi kelemahan dalam infrastruktur dan perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi”.

Ia memberikan kuasa kepada setiausaha perdagangan untuk “melarang transaksi yang membawa risiko yang tidak dapat diterima kepada keselamatan negara”, kata kenyataan itu.

Langkah itu disambut dengan segera oleh Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan, Ajit Pai, yang mengatakan dalam satu kenyataan bahawa ia adalah “langkah penting ke arah menjamin rangkaian Amerika”.

Amerika Syarikat telah melarang agensi persekutuan daripada menggunakan produk Huawei dan telah menggalakkan sekutu-sekutunya melakukan perkara yang sama.

Australia dan New Zealand, kedua-duanya telah menyekat penggunaan mudah alih 5G Huawei. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.