Siti Nurhaliza

KUALA LUMPUR – Penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyifatkan kemangkatan Almarhum Paduka Sultan Ahmad Shah merupakan satu berita sedih bagi seluruh rakyat Pahang.

Menurut beliau, pemergian Sultan Ahmad Shah hari ini merupakan satu kehilangan besar buat negara.

Katanya, Almarhum merupakan seorang sultan yang berjiwa rakyat dan mudah didampingi oleh rakyat jelata.

“Patik dan suami mengucapkan dan menyembah salam takziah kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong,KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, seluruh kerabat dan keluarga DiRaja Pahang di atas kemangkatan Almarhum Paduka Sultan Hj Ahmad Shah AlMusta’in Billah.

“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Almarhum dan digolongkan dalam kalangan para solehin. Al-Fatihah,” ucap penyanyi kelahiran Pahang itu.

Dalam pada itu, Siti Nurhaliza turut berkata, peluang mengadakan persembahan di hadapan Almarhum Sultan Ahmad Shah juga tidak akan dilupakan beliau.

“Sebagai rakyat Pahang yang berpeluang membuat persembahan di hadapan Almarhum Tuanku sejak saya bersekolah rendah dan seterusnya menjadi artis, banyak kenangan yang bermakna dan akan saya ingati sampai bila-bila,” katanya lagi.

Almarhum Sultan Ahmad Shah disahkan mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 8.50 pagi pada usia 89 tahun. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here