Penyanyi, Hunny Madu bercakap pada Malam Amal Bersama Celepets 2019 di Feebay.Co Avenue K, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 21 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pengacara Hunny Madu kini diselubungi perasaan gementar dan takut apabila lebih kurang sebulan lagi, anak keduanya Adam bakal menjalani satu pembedahan besar.

Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, Adam berusia setahun lima bulan bakal menjalani pembedahan di bahagian saluran jantung di Institut Jantung Negara penghujung Jun nanti.

Hunny, 35, meminta semua agar mendoakan kesihatan anaknya kembali pulih seratus peratus.

Buat masa ini, Hunny mengehadkan Adam ke tempat-tempat orang ramai seperti yang dinasihatkan oleh doktor.

Berikutan keadaan anaknya itu, Hunny membuat keputusan memperlahankan aktiviti muziknya, sebaliknya hanya keluar rumah untuk kerja pengacaraan kerana mahu menumpukan perhatian kepada kesihatan anak keduanya itu.

Meskipun Adam seorang bayi yang kuat tetapi kesihatannya perlu berada pada tahap terbaik sebelum menjalani pembedahan jantung.

“Saya sangat nerveous sebenarnya, ibu mana yang tidak takut bila perkara beginikan. Dia bayi yang kuat macam bayi lain, sihat tapi ada masalah jantung.

“Saya sekarang betu-betul fokus dengan Adam untuk dia betul-betul sihat, sebelum dia melalui pembedahan besar. Saya sangat cemas sebenarnya,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau ditemui ketika hadir pada majlis Malam Amal The Celepets (Sazzy Falak, Aisyah Sinclair, Atilia Haron, Daphne King, Dynas Mokhtar, Serena C dan Yasmin Hani) sempena ulang tahun ke-10 persahabatan mereka di sebuah kompleks beli-belah semalam.

Bercerita tentang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang lebih kurang 2 minggu lagi, bekas DJ itu akan pulang ke Muar, kampung ibunya untuk bersama-sama keluarga yang lain.

“Hunny akan tetap beraya di Muar untuk beberapa hari,” ujarnya.

Julai tahun lalu, Hunny mendedahkan Adam yang pada ketika itu berusia tujuh bulan menghidap penyakit jantung kompleks yang dipanggil Double Inlet Left Ventricle sejak dilahirkan Disember 2017.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here