Foto Hairul Azreen.

KUALA LUMPUR – Pelakon Hanis Zalikha, 28, selamat melahirkan cahaya mata kedua di sebuah pusat perubatan di sini petang semalam

Berita gembira itu diumumkan oleh suaminya yang juga pelakon, Hairul Azreen, 31, di Instagram miliknya.

Bintang filem Paskal itu juga meluahkan kesyukuran kerana isteri dan puterinya berada dalam keadaan sihat.

“Assalamualaikum, saya dengan penuh rasa kesyukuran ingin berkongsi berita gembira.

“Pada bulan Ramadan ini isteri saya, Hanis, selamat melahirkan cahaya mata perempuan kami, Alisa Aisyah Binti Hairul Azreen, petang tadi (jam) 5.59 petang,” tulisnya.

Dalam perkongsian yang turut disertakan dengan gambar dirinya bersama si kecil, Hairul juga memberitahu kedua-dua anaknya dilahirkan pada hari Jumaat.

Sementara itu, pasangan selebriti terbabit turut mewujudkan akaun rasmi Instagram puteri mereka, iaitu @thealisaaisyah.

Hairul dan Hanis mendirikan rumah tangga pada 5 Jun 2015. Pasangan itu turut dikurniakan cahaya mata lelaki, Yusuf Iskandar, yang kini berusia tiga tahun. – MalaysiaGazette