Pasukan penyelamat menyelam sedang menjalankan kerja-kerja mengesan mangsa bot tenggelam di Sungai Danube. foto Reuters

BUDAPEST – Arus sungai yang deras menghalang usaha mencari mangsa-mangsa yang masih hilang dalam kejadian bot tenggelam dua hari lalu.

Sekurang-kurangnya tujuh orang meninggal dunia dan lebih daripada 20 orang hilang selepas sebuah kapal besar bertembung dengan sebuah bot, Hableany atau Mermaid, berhampiran Jambatan Margit (Margaret) di Danube.

Kebanyakan mangsa dari Korea Selatan.

Menteri Luar Korea Selatan berikrar untuk memastikan usaha mencari dan mengesan mangsa-mangsa yang hilang diteruskan.

Kang Kyung-wha, bercakap pada sidang akhbar dengan Menteri Luar Hungary, Péter Szijjártó berkata, usaha itu akan dilakukan sehingga mangsa-mangsa ditemui.

Tetapi keadaan di sungai telah menjejaskan usaha beberapa ratus penyelamat yang sedang berada di tempat kejadian untuk mengesan bot yang tenggelam itu.

“Kita perlu mengatakan bahawa keadaan sedang menentang kita,” kata Szijjártó.

Paras air meningkat dengan hujan lebat, diramalkan  tidak akan susut sehingga Selasa.

Pencarian telah diperluas untuk menampung seluruh sungai dan Hungary telah menghubungi pihak berkuasa hiliran Serbia hiliran bagi mendapatkan bantuan.

Semasa kejadian terdapat 30 orang pelancong Korea Selatan dan tiga jurupandu pelancong serta dua krew Hungary dalam bot tersebut.

Kebanyakan mereka berusia antara 40 hingga 50 tahun serta seorang lelaki berusia 70 tahun dan kanak-kanak enam tahun.

Hanya tujuh yang ditemui selamat dan tujuh lagi meninggal dunia. – MalaysiaGazette