Raj Munni Sabu
Raj Munni Sabu

KUALA LUMPUR – Wanita Pakatan Harapan (PH) berharap kerajaan dapat memastikan semua proses penguatkuasaan undang-undang ke atas Haziq Abdul Aziz dapat berjalan mengikut semangat “rule of law”.

Ketua Penerangannya, Senator Raj Munni Sabu@Aiman Athirah Al-Jundi berkata, pihaknya difahamkan bekas Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Industri Utama itu gagal bertemu dengan peguam seperti dimintanya selepas ditahan polis petang semalam.

“Saya difahamkan Haziq selepas penahanan kurang lebih jam 7 malam tadi masih gagal bertemu dengan pihak peguam seperti yang diminta olehnya.

“Justeru, saya memohon dan berharap agar kerajaan dapat memastikan semua proses penguatkuasaan undang-undang ke atas Haziq  dapat berjalan mengikut semangat rule of law,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Raj Munni, dalam “Introduction to the Law of the Constitution”, Albert Venn Dicey mengatakan “rule of law” memiliki tiga unsur dasar.

Pertama, supremasi aturan hokum, iaitu seseorang hanya boleh dihukum kalau melanggar hukum.

Kedua, kedudukan yang sama di mata hokum, iaitu baik itu pejabat (pihak pemerintah, pegawai kerajaan) mahupun rakyat jelata.

Ketiga, terjaminnya hak asasi manusia melalui undang-undang dan keputusan pengadilan.

Kata beliau, rule of law itu juga merangkumi aspek semua orang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya dalam mahkamah.

Begitu juga, ujarnya, tidak ada tangkapan atau pemenjaraan yang arbitrary, tiada harta rakyat boleh diambil secara salah dan hukuman dijatuhkan oleh mahkamah hendaklah padan dengan kesalahan dilakukan.

“Pada hemat saya, huraian mengenai istilah “rule of law” yang terbaik dan paling mudah difahami terdapat dalam portal World Justice Project, yang mana mengandungi empat elemen penting.

“Elemen itu ialah kebertanggungjawaban, undang-undang yang adil, kerajaan terbuka dan penyelesaian pertikaian yang mudah dicapai dan tidak berat sebelah.

“Semoga Malaysia Baharu dapat diterjemahkan dalam setiap progres pentadbiran negara,” katanya. – MalaysiaGazette