RIO DE JANEIRO – Qatar bangkiT daripada ketinggalan dua GOL untuk mengikat Paraguay 2-2 pada penampilan sulung Copa America.

Malah juara Piala Asia itu boleh melakukan lebih baik di Stadium Maracana jika tidak kerana ketangkasan penjaga gol Paraguay, Gatito Fernandez pada separuh masa pertama.

Qatar bermula dengan langkah kiri apabila ketinggalan seawal minit keempat menerusi sepakan penalti pemain veteran, Oscar Cardoza apabila bola terkena tangan Pedro Miguel.

Walaupun ketinggalan pada separuh masa pertama, pasukan tuan rumah Piala Dunia 2022 itu menguasai permainan seperti yang dimahukan jurulatih warga Sepanyol, Felix Sanchez.

Pada separuh masa pertama, Qatar menguasai 60 peratus permainan terhadap Paraguay yang gagal beraksi dalam dua Piala Dunia terakhir dan kini cuba untuk membina semula pasukan, lapor TSN.

Cardoza nyaris menambah jaringan pada minit ke-52 apabila menerima umpanan rendah daripada pemain gantian, Deril Gonzalez namun gol itu tidak dibenarkan selepas video bantuan pengadil (VAR) dilakukan.

Namun empat minit selepas itu tiba giliran Gonzalez merembat kencang dari jarak jauh di sebelah kiri penjaga gol Qatar, Saad Alsheeb bagi menggandakan jaringan.

Namun pasukan dari Timur Tengah itu tidak panik dengan gol kedua lawan dengan pasukan itu medngambil inspirasi bermain di stadium ikonik yang boleh memuatkan 87,000 penonton. Malah kebanyakan 20,000 penonton yang hadir menyokong Qatar.

Usaha Qatar akhirnya membuah hasil pada minit ke-68 apabila Almoez Ali yang menerima hantaran dari penjuru kiri kotak penalti berlari ke tengah sebelum merembat kencang melepasi Fernandez.

Qatar terus memburu gol dan sembilan minit kemudian apa yang dicari kunjung tiba selepas beberapa siri hantara menuju ke Boualem Khoukhi yang merembat bagi menyamakan kedudukan walaupun Fernandez hampir dapat menghalang sepakannya.

Jurulatih Paraguay, Eduardo Berizzo yang kagum dengan kualiti yang ditunjukkan Qatar berkata, “Mereka bermain dengan baik. Bagi kami (keputusan seri) adalah satu hukuman,”.

Dengan keputusan itu, Colombia menduduki tangga teratas kumpulan B dengan tiga mata diikuti Qatar dan Paraguay yang berkongsi mata manakala Argentina berada di tangga terorot tanpa mata berikutan kekalahan pasukan itu 0-2 kepada Colombia. – Agensi