Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohd Nazree Mohd Yunus (tengah) bercakap pada sidang media khas selepas mempengerusikan mesyuarat berikutan kes video seks Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang juga Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali di Rumah Pemuda PKR, Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 19 JUN 2019.

SHAH ALAM – Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini menyanggah keputusan Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang hanya meminta Haziq Abdullah Abdul Aziz menyerahkan surat tunjuk sebab sahaja.

Naib Ketuanya, Mohd Nazree Mohd Yunus sebaliknya menegaskan, mesyuarat pimpinan AMK malam ini sebulat suara menolak keputusan itu dan mendesak Haziq yang mengaku individu dalam video seks songsang itu dilucutkan keahliannya serta-merta.

“Berdasarkan mesyuarat pimpinan AMK malam ini, pimpinan AMK menolak saranan daripada Lembaga Disiplin yang telah keluarkan kenyataan lewat petang tadi.

“Kita pimpinan AMK menyatakan dengan tegas bahawa Haziq perlu dipecat daripada Keadilan serta-merta, saya kira itu pendirian tegas AMK.

“Saya harap supaya dilihat dan disemak dengan teliti oleh Lembaga Disiplin dan kepimpinan parti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar AMK di Rumah Pemuda, di sini, malam ini.

Terdahulu Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kassim berkata, pihaknya akan memberi surat tunjuk sebab kepada Haziq dan setiausaha sulit seorang menteri itu perlu menjawab dalam tempoh 14 hari.

Keputusan itu dibuat pada Ahad lalu dan dikemukakan kepada mesyuarat Biro Politik yang berlangsung petang tadi.

Menurut Ahmad, surat tunjuk sebab itu akan diserahkan kepada Haziq selepas mendapati bekas Ketua Pemuda Santubong itu telah mencemar dan merosakkan nama parti.

Mohd Nazree juga berkata, pihaknya sedia menerima sebarang kemungkinan susulan keputusan sayap parti itu yang menolak keputusan Lembaga Disiplin.

“Sebab itu dalam keadaan ini kita AMK bersedia berdepan dengan apa juga kemungkinan yang akan berlaku dalam parti dan politik kita,” katanya.

Katanya lagi, keputusan itu dicapai selepas kesemua pimpinan AMK seluruh negara sebulat suara mengambil pendirian menolak politik fitnah dan pembunuhan karakter yang berlaku pada hari ini.

“Kita tegaskan kembali prinsip Keadilan ialah memperjuangkan keadilan rakyat.

“Kita sama sekali menolak perjuangan yang semata-mata mempertahankan individu dan keluarga,” katanya lagi. – MalaysiaGazette