Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bercakap kepada media pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019 di Pusat Darah Negara, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 22 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Dua lagi kes baharu pelajar sekolah mengalami kesesakan nafas dilaporkan di Pasir Gudang, Johor pada tengah hari semalam.

Menteri Kesihatan datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kedua-dua kes itu dirujuk ke Hospital Sultan Ismail, Johor dan mereka telah dimasukkan ke dalam wad untuk rawatan susulan.

“Kedua-dua mereka merupakan pelajar lelaki dari Sekolah Agama Taman Mawar, Pasir Gudang.

“Kedua dua pelajar sedang dirawat di wad kanak-kanak Hospital Sultan Ismail dan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam sidang media.

Terdahulu beliau menghadiri Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan di Pusat Darah Negara bersama pengarahnya Dr. Noryati pagi tadi.

Dengan pertambahan dua kes baharu itu, jumlah keseluruhan pelajar di sekolah berkenaan yang mengalami kesesakan nafas meningkat kepada 18 orang.

Manakala jumlah mangsa yang telah mendapatkan rawatan setakat ini adalah seramai 31 orang iaitu 21 pelajar perempuan dan 10 pelajar lelaki.

Tambah beliau, enam kes terdahulu yang dimasukkan ke Wad Kanak-kanak Hospital Sultan Ismail telah pun dibenarkan pulang semalam.

“Sampel-sampel klinikal dihantar ke Jabatan Kimia Petaling Jaya untuk ujian makmal toksikologi dan Jabatan Kesihatan Johor terus melakukan pemantauan di lapangan.

“Bagaimanapun kami masih belum dapat mengenalpasti punca sesak pernasafan pelajar, sama ada disebabkan oleh pencemaran toksik tetapi saya boleh sahkan ia bukan disebabkan keracunan makanan,” tegasnya lagi.

Sebagai langkah berjaga-jaga, mana-mana orang dinasihatkan agar mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala sesak nafas, loya, muntah, pening, sakit kepala, kekejangan otot dan lemah badan

Pada Khamis lalu, sekurang-kurangnya 15 pelajar sekolah agama berkenaan telah mengalami simptom muntah-muntah dan sesak nafas secara tiba tiba sebelum dikejarkan ke hospital.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Ibrahim Omar berkata, pihaknya menerima panggilan jam 3.39 petang 19 Jun lalu berhubung pencemaran udara. – MalaysiaGazette