Aaron Wan-Bissaka. Foto talkSports

LONDON – Ketua jurulatih skuad England Bawah 21, Aidy Boothroyd menyalahkan Manchester United kerana menjadi faktor Aaron Wan-Bissaka hilang fokus terhadap tugasan ketika bersama negaranya di Euro B-21.

Boothroyd berkata, bek kanan yang menjaringkan gol sendiri dalam perlawanan pembukaan kejohanan itu jelas terganggu dengan pelbagai spekulasi melibatkan perpindahan dirinya ke Old Trafford.

“Apabila timbul pelbagai spekulasi, ia mudah untuk mengalihkan fokus pemain.

“Apatah lagi bagi seorang pemain muda yang selama ini hanya tahu mengenai akademi di Crystal Palace dan kelabnya sahaja,” katanya kepada Daily Express.

Wan-Bissaka adalah antara pemain yang disasarkan United di jendela perpindahan pada kali ini dan bidaan pertama bernilai sekitar £40 juta oleh United dilaporkan telah ditolak

Kelabnya dijangka memberi tekanan untuk United membayar sehingga £60 juta termasuk pelbagai jenis bayaran tambahan lain sebelum Crystal Palace boleh diyakinkan untuk melepaskan beliau ke Old Trafford.

Pemain berusia 21 tahun ini masih memiliki kontrak selama tiga tahun bersama Palace.

Musim lalu dia beraksi dalam 35 perlawanan dan memenangi anugerah pemain terbaik kelab itu. – MalaysiaGazette