KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) telah mengemukan tawaran bagi pengambilalihan kepentingan dalam empat pengendali lebuh raya utama membabitkan sejumlah RM6.2 bilion.

Pengambilalihan itu membabitkan empat lebuh raya itu ialah Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK) pada nilai RM2.47 bilion dan Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (SPRINT) pada kos RM1.984 bilion.

Manakala KESAS Sdn Bhd pada RM1.377 bilion dan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) RM369 juta.

Gamuda Bhd yang juga pemegang saham terbesar dalam keempat-empat pengendali lebuh raya terbabit dalam notis kepada Bursa Malaysia semalam memberitahu, surat tawaran itu bagi mengambil alih semua kepentingan termasuk saham biasa, saham keutamaan dan saham pinjaman.

Menurutnya, tawaran itu akan dilaksanakan oleh sebuah syarikat tujuan khas (SPV) yang dimiliki sepenuhnya oleh MOF Inc yang akan dikenal pasti kemudian.

Gamuda berkata, tawaran ke atas KESAS, SPRINT, LITRAK dan SMART tertakluk kajian kewajaran memuaskan, kelulusan Kabinet Malaysia, pelaksanaan perjanjian muktamad berkenaan dengan tawaran dan pematuhan kepada terma tawaran ini.

Tawaran bagi kesemua lebuh raya berkenaan bersyarat antara satu sama lain melainkan diketepikan oleh MOF Inc atau SPV secara bertulis.

Tawaran untuk setiap syarikat konsesi itu sah sehingga pukul 5 petang (masa Malaysia) pada 12 Julai 2019, selepas itu tawaran tersebut akan segera dilupuskan kecuali MOF Inc bersetuju secara bertulis untuk melanjutkan tempoh.

Gamuda memiliki 70 peratus kepentingan dalam KESAS; SPRINT (52 peratus); LITRAK (44 peratus) dan 50 peratus dalam SMART.

LITRAK ialah pengendali Lebuhraya Damansara Puchong (LDP).

Tawaran pengambilalihan itu seiring dengan pengumuman kerajaan pada Februari lalu yang bercadang untuk mengambil alih empat lebuh raya terbabit yang menjadi sebahagian daripada manifesto pilihan raya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.