JOHOR BAHRU – Punca sebenar insiden gangguan kesihatan sehingga melibatkan ramai pelajar sesak nafas dan muntah-muntah di Pasir Gudang, sejak Khamis lepas, masih belum dapat dipastikan sehingga kini.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata hasil keputusan ujian makmal mendapati bahawa sampel dari lapan pesakit yang diambil untuk ujian cyanide, blood cyanide dan kompaun organik tidak stabil (VOC) adalah negatif.

“Jabatan kimia secara berterusan mencari apa bahan kimia dalam urin serta sampel darah pesakit.

“Kita tidak dapat dalam sampel urin dan juga darah untuk memastikan apakah sumber bahan kimia. Ini sangat berbeza dengan kes Kim Kim. Kita ada bukti fisiologikal kimia, urin dan darah tentang kandungannya (bahan kimia),” katanya kepada pemberita di Menara Aqabah di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor Mohd Khuzzan Abu Bakar serta Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor Tan Chen Choon.

Yeo berkata bagi memastikan keselamatan penduduk dan menangani isu gangguan kesihatan seumpama itu, sebuah stesen pemantauan bahan-bahan cemar udara secara tetap akan diwujudkan di Pasir Gudang, namun, reka bentuknya akan diteliti.

Beliau berkata Sistem Ramalan Penyebaran Kimia juga akan diwujudkan bagi menjadi rujukan piawaian bagi setiap bahan cemar yang terdapat di Pasir Gudang dalam keadaan bacaan normal.

“Saya juga sudah berbincang dengan YB Tan (Tan Chen Choon) untuk mewujudkan zon penampan di antara kawasan industri, perumahan, sekolah dan kawasan komuniti harian.”Kita sudah ada rancangan mengenainya dan akan membentangkannya secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Mohd Khuzzan berkata sehingga 12 tengahari tadi, tiada pesakit baharu dimasukkan ke dalam wad yang menjadikan keseluruhan mangsa masih berada di wad adalah enam orang.

Beliau berkata keputusan sama ada sekolah boleh dibuka semula Ahad ini bergantung kepada kualiti udara yang sedang dipantau.- BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.