Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia jatuh 2.97 peratus kepada AS$104.7 bilion setakat 29 Jun lalu berbanding AS$107.9 bilion pada 14 Jun.
Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Rizab Malaysia kekal tidak digunakan pada akhir Mei 2019, dengan aset rizab rasmi berjumlah US$102.3 bilion mengikut format Special Data Dissemination Standard Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF SDDS).

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan hari ini berkata aset mata wang asing lain berjumlah US$57.9 juta.

“Bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing, termasuk antaranya pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh kerajaan dan pembayaran balik perolehan daripada Bil Antara Bank dalam mata wang asing Bank Negara apabila matang, berjumlah US$5,965.4juta,” kata BNM.

Kedudukan hadapan pendek berjumlah US$15,737.0 juta pada akhir Mei 2019, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang.

Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek berjumlah US$2,434.9 juta untuk tempoh 12 bulan akan datang.

Bank pusat berkata satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan kerajaan bagi hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah US$350.9 juta.

“Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.

“BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing berbanding ringgit,” kata bank pusat.- BERNAMA