Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Sesi Town Hall Politik Malaysia Baharu di Dewan Merdeka, PWTC, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kembali memegang jawatan itu masih berwibawa dalam mentadbir parti.

Jelasnya, UMNO memerlukan pemimpin seperti Ahmad Zahid bagi mengembalikan kekuatan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) nanti.

“UMNO memerlukan pemimpin-pemimpin yang mempunyai pengalaman dan mempunyai kewibaan dan Ahmad Zahid dari segi kemampuannya boleh kukuhkan UMNO dan boleh memberi kepimpinan diperlukan untuk terus mantap UMNO jadi saya sokong Zahid kembali sebagai Presiden parti.

“Saya yakin (dengan Zahid),” katanya kepada media di lobi Dewan Rakyat hari ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berkata kembalinya Ahmad Zahid yang menggalas tugas presiden UMNO sebagai tanda parti itu belum mantap sepenuhnya.

Malah Ahli Parlimen Port Dickson itu juga berkata keputusan itu tidak akan menjejaskan Pakatan Harapan (PH).

“Itu (Zahid kembali aktif memimpin UMNO) keputusan dalaman UMNO. Saya rasa keputusan itu menunjukkan Umno belum mantap.

“Maknanya apa yang diserahkan dulu (penyerahan tugas kepada timbalan presiden Mohamad Hasan) tidak mendapat dokongan. Bagi saya ia (perkembangan itu) tidak menunjukkan kekuatan UMNO,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, semalam.

Ahmad Zahid bercuti daripada memegang jawatan Presiden UMNO, selama enam bulan sejak Disember 2018.

Beliau menyerahkan tugas presiden kepada Datuk Seri Mohamad Hasan pada 18 Disember lalu ketika didesak meletakkan jawatan berikutan tindakan beberapa anggota parlimen UMNO keluar parti. -MalaysiaGazette