Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah) diiringi barisan kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan bercakap semasa sidang media selepas pada Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 08 JULAI 2019

PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju menggugurkan perkataan mandatori bagi hukuman untuk kes penyalahgunaan dadah, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, bagi tujuan itu hakim boleh membuat pilihan sama ada mahu menjatuhkan hukuman mati atau penjara yang tidak boleh kurang dari 10 tahun.

“Masalah jenayah semakin merunsingkan di Malaysia, termasuk penyalahgunaan dadah. Untuk itu, kita mengambil pendirian tegas walaupun kita didesak supaya menggugurkan perkataan mandatori.

“Namun, apabila mereka didapati mengguna atau membawa dadah dalam jumlah banyak, maka mereka akan dikenakan hukuman mati mandatori.

“Kita hapuskan perkataan mandatori, namun kita kekalkan bahawa hakim boleh membuat pilihan sama ada mahu kenakan hukuman mati atau penjara tetapi tidak boleh kurang dari 10 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, di sini hari ini.

Dalam pada itu Mahathir berkata, hukuman berat tetap perlu dikenakan berikutan jenayah dadah adalah satu perkara yang serius.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Mahathir memberitahu, Kementerian Kewangan akan menyediakan peruntukan bagi membaikpulih mana-mana kuarters Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang uzur di seluruh negara.

“Kita juga berpendapat bahawa kebajikan untuk anggota polis tidak mencapai tahap yang baik.

“Oleh itu, Kementerian Kewangan akan membekalkan kewangan yang kukuh untuk perbaiki rumah dan berek yang diduduki pegawai dan kakitangan polis,” ujarnya. – MalaysiaGazette