KUALA NERUS – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjadi universiti pertama di negara ini yang bekerjasama dengan Arkib Negara Malaysia untuk menjalankan penyelidikan dan berkongsi kepakaran dalam bidang pendigitalan manuskrip lama.

Naib Canselornya, Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata sebagai permulaan, UniSZA akan menerima 35,000 naskhah manuskrip lama yang dibeli daripada Universiti Durham, United Kingdom pada hujung bulan ini berkaitan Kesultanan Melayu dan Islam sebelum era kemerdekaan negara.

“UniSZA akan menubuhkan Pusat Kajian Manuskrip secara dalam talian dan menjadi tempat rujukan untuk pelbagai kajian manuskrip Islam yang terbesar di Asia Tenggara.

“Apabila manuskrip ini dihasilkan dalam bentuk digital, ia akan memberi capaian akses lebih mudah kepada sesiapa sahaja yang mahukan maklumat berkaitan sekali gus memartabatkan kepakaran tenaga pengajar dan penyelidik UniSZA dalam bidang manuskrip dan teknologi maklumat ke peringkat global,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UniSZA dan Arkib Negara Malaysia di sini hari ini.

Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam UniSZA akan mendigitalkan manuskrip lama tersebut dengan menggunakan peralatan moden agar ia kekal dalam bentuk digital dan seterusnya diletakkan di Perpustakaan UniSZA.

Ini menjadikan UniSZA sebagai satu-satunya pangkalan data digital katalog dokumen-dokumen rasmi berkaitan Sejarah Alam Melayu, Kesultanan Melayu Lama dan Islam di Malaysia serta Nusantara.

Sementara itu, Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Azemi Abdul Aziz berkata kebanyakan dokumen manuskrip lama berada dalam simpanan Arkib Negara adalah dalam bentuk tulisan jawi lama, yang mana tidak ramai individu mempunyai kepakaran untuk menulis dan membacanya ketika ini.

“MoU ini akan memberi peluang kepada penyelidik UniSZA untuk membantu menyebarluaskan ilmu berkaitan manuskrip itu agar generasi akan datang dapat manfaat daripadanya.

“Kami juga mengalu-alukan kerjasama dengan universiti lain sepertimana UniSZA yang ingin memartabatkan semula manuskrip lama ini dengan kaedah mendigitalkannya agar boleh diakses dengan lebih mudah tanpa had masa di mana-mana sahaja,” katanya.- BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.