Ir. Khairil Nizam Khirudin
Ir. Khairil Nizam Khirudin

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mendapatkan khidmat kepakaran dari luar untuk mencegah dan menangani kejadian pencemaran udara akibat bahan kimia berulang lagi di Pasir Gudang, Johor.

Ketua Pemuda, Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM), Ir. Khairil Nizam Khirudin menegaskan, pencemaran udara akibat bahan kimia yang berulang kali ketiga melanda kawasan itu menuntut tindakan bersepadu, tegas dan segera untuk menanganinya.

Menurut beliau, suruhanjaya siasatan bebas juga perlu ditubuhkan supaya forensik ke atas kedudukan semua pembangunan terutama kilang kimia dan operasinya dapat diadakan.

Seterusnya katanya, kertas putih dibentangkan bersama syor penyelesaian untuk tindakan pihak bertanggungjawab.

“Pada ketika ini, kerajaan mesti mengeluarkan serta merta perintah menghentikan operasi sementara kepada semua kilang terlibat sehingga langkah keselamatan lebih terjamin disiapkan.

“Kelemahan bertindak hanya menimbulkan rasa curiga dan syak bahawa pihak berkepentingan sedang dilindungi,” katanya dalam kenyataan kepada media semalam.

Dalam kejadian terbaharu Khamis lalu, lebih 50 pelajar dari beberapa sekolah mengalami muntah-muntah, loya dan pening dipercayai kesan dari pencemaran udara yang masih berlaku setakat jam 1 tengah hari itu.

Mereka kemudian mendapat bantuan rawatan awal dari anggota Bomba dan Penyelamat yang bergegas ke tempat kejadian, sebelum dihantar ke klinik kesihatan untuk rawatan dan saringan kesihatan.

Menurut Ir. Khairil Nizam, DPPM sedih kerana penduduk masih menjadi mangsa hingga terdedah kepada ancaman nyawa.

Namun, ujar beliau, aspek pengurusan risiko, penguatkuasaan, komitmen kebertanggungjawaban dan solusi dilihat menjadi janji yang dimungkiri.

Malah, seluruh malapetaka berulang di peringkat ini cukup untuk kerajaan diberi markah gagal.

“Melihat tamak halobanya kapitalis yang bersekongkol orang politik dalam meraih keuntungan sebagaimana berlaku di semua celahan dunia, kami sangat tertanya-tanya.

“Apakah semua polemik ini sengaja dibiarkan sebagai ganti peperangan untuk membunuh dan mengusir penduduk?” soal beliau.

Katanya, sehari sebelum kejadian terbaharu itu, DPPM telah menghantar surat rasmi kepada Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin untuk mengadakan pertemuan bagi mengemukakan cadangan penyelesaian.

Ini sekali gus membuktikan kesediaan kami bekerjasama dengan pihak menteri bagi memastikan mangsa gelojoh kapitalis ini dapat dibela.

Beliau turut menyatakan sokongannya berhubung tindakan mangsa, penduduk dan NGO membuat laporan polis ke atas pihak berkaitan agar dalangnya dapat diadili.

“Pengajaran atau hukuman berat mestI dilaksanakan jika motif yang DPPM sebutkan itu wujud di sebalik semua masalah ini,” katanya. – MalaysiaGazette