Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam bercakap kepada media semasa hadir untuk memberi keterangan terhadap kenyataannya terhadap Ketua Polis Negara, Datuk Seri Hamid Bador mengenai isu kes video Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 26 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat, Lokman Noor Adam bersedia dihadapkan ke mahkamah selepas dirakam keterangan kerana menuduh Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador menipu dalam laporan forensik membabitkan siasatan video hubungan sejenis mengaitkan menteri Kabinet

Bercakap kepada pemberita, Lokman berkata, beliau telah memberi keterangan lebih kurang 15 minit dan menyatakan kepada pegawai penyiasat bahawa akan menjawab segala soalan di mahkamah.

“Ini kerana apabila di mahkamah kita diwakili oleh peguam dan segala kata-kata kita ketika memberi keterangan itu adalah merupakan keterangan saksi di mahkamah.

“Sebenarnya 15 minit sahaja soal jawab saya dengan pihak pegawai penyiasat Asisten Superintendan Zainol yang mana dia memberi layanan yang baik tetapi cuma pengarah (Datuk Huzir Mohamed) tadi berbincang dengan Ketua Unit Siasatan Jenayah Terkelas sama ada nak tahan saya ke nak lepaskan saya.

“Yang itu yang mengambil masa agak lama..sebenarnya sesi rakam keterangan saya hanya sekejap sahaja..15 minit sejurus selepas saya masuk 10.40 pagi tadi dah dirakam lepas itu saya tunggu sejam setengah baru dia buat keputusan lepaskan saya,” katanya kepada pemberita di luar Bukit Aman di sini.

Ditanya sama ada beliau dimaklumkan kenapa tidak ditahan polis, Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu juga menjelaskan bahawa polis sedar beliau mahu dirinya didakwa di mahkamah.

“Apabila saya katakan IGP menipu, mereka boleh dakwa saya di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana cubaan mengaibkan dan mahkamah adalah cara terbaik untuk saya membawa laporan forensik yang saya perolehi daripada pakar forensik di Indonesia.

“Laporan forensik itu membuat analisa sama ada video hubungan sejenis itu tulen ataupun tidak dan laporan forensik bahagian kedua yang mengecam dan menyuaipadan sama ada si pelaku itu gambar dia sama dengan Azmin Ali dan Haziq Abdul Aziz atau pun tidak dan ketiga ialah dia punya visual,” ujarnya.

Lokman mendakwa dalam visual itu, pakar di Indonesia berjaya mengurangkan suara televisyen dan selaraskan ‘enhance’ suara Azmin dan Haziq kemudian suara itu disuaipadan dengan video Azmin ketika berucap dalam ceramah untuk disuaipadan.

“Tiga benda ini Insyaallah kalau polis dakwa saya maka inilah peluang terbaik untuk kita bawa benda (laporan forensik Indonesia) ini ke mahkamah..

“Sebab saya tak fikir Azmin ini akan didakwa sebab dia mewakili Pakatan Harapan… siapa sahaja yang melibatkan Pakatan Harapan dia boleh terlepas sebab ini kerajaan undang undang rimba,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette