TUNIS – Susulan daripada kematian mendadak Presiden Tunisia, Caid Essebsi yang meninggal dunia awal pagi semalam pada usia 92 tahun – negara itu kini sedang bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya tergempar pada awal September ini.

Agensi melaporkan, setakat ini belum ada apa-apa bayangan yang kukuh siapakah yang mampu mentadbir negara Afrika Utara itu apatah lagi setelah pemergian tokoh veteran seperti Essebsi yang juga di gelar sebagai ‘Bapa Konsensus’ negara berkenaan.

Beberapa jam selepas kematian Essebsi, Speaker Parlimen, Mohamed Ennaceur telah mengangkat sumpah selaku ‘presiden interim’ yang mengikut peruntukan perlembagaan hanya sah sehingga 90 hari sahaja.

Suruhanjaya Pilihan Raya dalam kenyataan telah mengesahkan proses mengundi berkemungkinan akan diadakan pada 15 September – dua bulan lebih awal daripada yang ditetapkan.

Ahli politik veteran itu mula memimpin negara berkenaan pada tahun 2014 tiga tahun selepas pemerintah kuku besi Zine El-Abidine Ben Ali disingkirkan dan mencetuskan pemberontakan di beberapa negara Arab.

Essebsi dimasukkan ke hospital selepas mengalami masalah kesihatan yang serius pada Jun lalu dan kembali menerima rawatan di unit rawatan rapi semalam.

Sebelum ini, anak lelaki Essebsi, Hafedh Caid Essebsi berkata, keadaan pemimpin itu dilaporkan kurang memuaskan. –MalaysiaGazette