Penyerang Manchester United, Romelu Lukaku

BELGIUM – Penyerang Manchester United, Romelu Lukaku dilapor tidak menyertai rakan pasukannya terbang ke Norway untuk perlawanan bertemu Kristiansund.

Setibanya di Carrington bersama dengan pemain lain, Bintang Belgium itu tidak ikut serta menaiki bas menuju ke Lapangan Terbang Manchester, lapor laman portal express.co.uk.

Beliau sebaliknya dilihat memandu keluar dari pusat latihan itu bersendirian sekaligus menguatkan spekulasi dia akan meninggalkan Red Devils.

Lukaku dikatakan disisih daripada skuad jelajah pra musim pasukan itu selepas bergelut dengan prestasi tidak menentu sejak berhijrah dari Everton pada 2017.

Malah, dia juga didakwa bakal angkat kaki dari Old Trafford pada musim panas ini.

Lukaku tidak lagi menjadi pemain pilihan Ole Gunnar Solskjaer dan dijangka menyertai Inter Milan atau Juventus sebelum kempen musim baharu bermula.

Pemain berusia 26 tahun itu dibelenggu kecederaan buku lali ketika menyertai jelajah United ke Australia dan Asia baru-baru ini.

Difahamkan Solskjaer memberikan tempoh sehingga Khamis ini kepada Lukaku untuk memuktamadkan perpindahannya walaupun United sudah menolak tawaran bernilai 54 juta pound sterling dari Inter Milan. – MalaysiaGazette