Najib Razak

KUALA LUMPUR – “Jangan cuma happy berkunjung ke luar negara. Bawalah balik pelaburan-pelaburan asing,” sindir Datuk Seri Najib Razak.

Dakwa Ahli Parlimen Pekan itu, ekonomi negara semakin tenat sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 walaupun berlaku penjualan aset negara yang dikira sebagai pelaburan asing paling tinggi dalam sejarah.

Najib yang juga bekas menteri kewangan berkata, di sebalik propaganda Lim Guan Eng, sebenarnya kadar pelaburan swasta pada suku pertama 2019 cuma 0.4 peratus sahaja.

Situasi ini, katanya, menyebabkan penganalisis ekonomi bimbang tentang pelaburan swasta.

“Menteri Kewayangan boleh tipu rakyat tapi pakar-pakar ekonomi tak makan propaganda dan pengumuman indah tetapi menipu dari dia..

“Pelaburan baru yang disukat mengikut Gross Fixed Capital Formation (GFCF) sekarang adalah pada tahap paling rendah sejak krisis kemelesetan ekonomi dunia (Great Global Recession) pada tahun 2008 – iaitu kemelesatan ekonomi dunia paling teruk sejak tahun 1930an,” katanya dalam hantarannya di Facebook.

Sehubungan itu, katanya, selain menjual aset negara tiap-tiap minggu, kerajaan Pakatan Harapan mesti bekerja keras untuk menggalakkan lagi banyak pelaburan dari pihak swasta.

Dalam posting berasingannya, Najib berkata, pasaran saham tempatan kini adalah paling corot di dunia.

saham
Perbandingan pergerakan saham. foto FB Najib Razak

Kemerosotan itu juga didakwanya berlaku selepas pilihan raya lalu.

“Dulu kita diberi diiktirafkan sebagai pasaran saham paling lama menaik (world’s longest bull-run) di mana indeks saham kita berganda dari 800 mata masa saya bermula sebagai PM ke 1,896 mata sebelum PRU14.

“Kini kita adalah paling corot dalam dunia,” katanya. – MalaysiaGazette