Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia jatuh 2.97 peratus kepada AS$104.7 bilion setakat 29 Jun lalu berbanding AS$107.9 bilion pada 14 Jun.
Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Penggunaan pembayaran elektronik meningkat 20 kali ganda dalam tempoh setahun, sekali gus menyaksikan penurunan kaedah bayaran secara tradisional.

Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata, dari tahun 2017 hingga 2018, jumlah urus niaga pembayaran mudah alih telah meningkat daripada di bawah dua juta transaksi kepada lebih 34 juta transaksi dalam tempoh setahun.

Malah, sejak tahun 2011 negara telah mengurangkan penggunaan cek hampir separuh kepada 101 juta pada tahun lalu.

Menurutnya, penerimaan pembayaran elektronik seperti terminal ‘point-of-sale’ telah meningkat lebih dua kali ganda kepada 16 terminal setiap 1,000 penduduk pada tahun lalu.

Lebih banyak pedagang juga menerima pembayaran QR dengan 400,000 pendaftaran yang direkodkan setakat ini, katanya.

Tambah beliau lagi, transaksi itu hampir tiga kali ganda kepada 125 transaksi per kapita pada tahun 2018.

Pada masa sama, model-model perniagaan terkini juga baharu muncul.

“Kami menganggarkan 40 peratus teknologi kewangan (Fintechs) di Malaysia adalah pembayaran berkaitan perkhidmatan menjadikan ia sebagai segment terbesar.

“Ruang e-wallet sangat dinamik, menyumbang kepada pertumbuhan pesat dalam pembayaran mudah alih,” menurutnya ketika menyampaikan ucaptama semasa majlis Anugerah Kecemerlangan E-Pembayaran Malaysia (MEEA) 2019. – MalaysiaGazette