KOTA KINABALU – Pulau terkenal, Sipadan akan ditutup kepada semua aktiviti laut sepanjang Disember bermula tahun depan.

Arahan tersebut dikeluarkan oleh Taman Sabah di atas permintaan para pengendali aktiviti selaman.

Menurut Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Budaya dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Christina Liew, Disember dipilih kerana ia merupakan bulan yang menerima kehadiran penyelam paling rendah.

Jelasnya, penutupan sementara selama sebulan itu membolehkan terumbu karang dan hidupan laut dipulihkan.

“Perkara ini dicadangkan dan dipersetujui secara sebulat suara oleh pengendali aktiviti selaman,” katanya ketika mengulas mengenai notis penutupan pulau berkenaan yang tular hari ini.

Dalam notis berkenaan, Pengarah Taman Sabah memaklumkan Pulau Sipadan akan ditutup kepada semua aktiviti snorkeling dan selam skuba dari tarikkh 1 hingga 31 Disember 2020 bagi tujuan pemulihan persekitaran marin.

Aktiviti laut akan dimulakan semula pada 1 Januari 2021 dan difahamkan tempoh pemuliharaan akan dilaksanakan setiap tahun.- MalaysiaGazette