Dua pemimpin Melayu ini didakwa bersengkokol dengan bukan Islam mengalau Dr. Zakir Naik
Dua pemimpin Melayu ini didakwa bersengkokol dengan bukan Islam mengalau Dr. Zakir Naik

KUALA LUMPUR – Apa motif Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan pemimpin veteran, Tan Sri Rais Yatim bersengkokol dengan tiga pemimpin DAP, sepakat menghalau pendakwah kontroversi, Dr. Zakir Naik dari Malaysia?

Pengerusi Penyelaras Gabungan NGO Pahang, Haslihelmy DM Zulhasli berkata, kalau pemimpin dari kaum India itu berbuat demikian munasabah, tetapi agak menghairankan jika dua pemimpin Melayu turut menunjukkan sikap antinya kepada Zakir Naik.

“Pemimpin kaum India beragama hindu dari DAP bertindak demikian kerana dia beragama Hindu, itu tidak jadi masalah. Yang dua orang beragama Islam ini (Syed Saddiq dan Rais), apa pula masalahnya?

“Nak kata tak reti basa (tidak tahu bahasa), seorang masih menteri dan seorang lagi bekas menteri,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Semalam, media melaporkan Rais menyifatkan keadaan negara ini harmoni, namun berubah selepas penceramah kontroversi Dr. Zakir Naik hadir menetap di negara ini.

Beliau juga dilaporkan berkata, hubungan Malaysia dan India makin “muram” sejak kehadiran penceramah itu ke negara ini dan amat baik dia dipulangkan saja ke India.

Syed Saddiq juga menyokong gesaan untuk  Zakir Naik dihantar pulang ke India kerana kenyataan kontroversi pendakwah bebas antarabangsa itu terhadap orang Cina dan India di negara ini.

Menurut Haslihelmy lagi, tidak wajar pemimpin Melayu turut bersengkokol dengan bukan Islam kerana Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan terang berkata, jika Zakir Naik dihantar balik India, mungkin dia akan dibunuh.

Katanya, kenapa Perdana Menteri berkata demikian, kerana ia bukan isu diplomatik India dan Malaysia.

“Soal undang-undang India dan ekstradisi itu adalah soal konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu (PPB). India tidak mahu menjadikannya sebagai isu diplomatik, kerana India pun tahu.

“Di mana-mana negara dalam dunia, boleh menerima mana-mana pesalah untuk mendapat perlindungan dalam satu negara yang menerimanya, seperti adanya rakyat Malaysia yang dalam perbicaraan atau tuduhan lari ke Sweden dan Australia,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pendirian Syed Saddiq dan Rais, beliau yakin kedua pemimpin itu mempunyai ilmu pendidikan Islam yang mencukupi.

“Tidak mungkin kedua mereka kurang pendidikan Islam, mungkin mereka tidak faham pengertian bahawa setiap orang Islam itu bersaudara, walaupun berlainan ibu bapa dan tidak dikenali.

“Orang Islam itu dijadikan bersaudara kerana bersyahadat yang sama. Allah Tuhannya, Nabi Muhammad nabinya dan dalam Islam menerima semuanya manusia berasal dari Adam dan kemudian didatangkan Hawa,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.