Reaksi Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus ketika menjawab pertayaan wartawan pada sidang media Prestasi Ekonomi Suku Kedua Tahun 2018 di Bank Negara, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 16 OGOS 2019

KUALA LUMPUR- Bank Negara Malaysia mengumumkan langkah- langkah tambahan dalam meliberalisasi pentadbiran tukaran asing (FEA) berkuatkuasa 30 Ogos ini.

Menurut Gabenor, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunos, langkah tersebut adalah untuk memberikan lebih fleksibiliti dan meningkatkan tahap kecekapan sektor perniagaan dalam menguruskan risiko tukaran asing dan menjalankan operasi harian dengan lebih baik.

Dengan itu Bank Negara kini membenarkan pemastautin untuk melindung nilai obligasi akaun semasa mara wang asing sehingga tempoh asas (underlying tenure).

Bagi meningkatkan kecekapan dalam operasi pengurusan risiko secara berpusat pula, syarikat perbendaharaan pemastautin di Malaysia bebas untuk melindung nilai bagi pihak syarikat-syarikat berkaitan mereka jika dilakukan melalui bank tempatan berlesen.

Ketiga, syarikat perbendaharaan bukan pemastautin di luar negara bebas untuk melindung nilai bagi pihak syarikat-syarikat berkaitan mereka di Malaysia dan luar negara dengan bank tempatan berlesen atau Pejabat Luar Negara yang Dilantik (Appointed Overseas Office) setelah berdaftar dengan Bank Negara Malaysia.

Keempat, fleksibiliti diberikan kepada bukan pemastautin untuk melindung nilai berasaskan anggaran dengan AOO bagi penyelesaian perdagangan dan perkhidmatan.

Dalam pada itu Bank Negara juga menurut Nor Shamsiah memberikan pengecualian kemudahan kredit untuk perbelanjaan pelbagai (miscellaneous expenses) daripada takrifan peminjaman ringgit domestik.

Jelasnya, kemudahan kredit yang digunakan oleh syarikat bagi tujuan perbelanjaan pelbagai seperti perbelanjaan runcit dan perjalanan pekerja dikecualikan daripada peminjaman ringgit domestik di bawah dasar FEA yang terpakai bagi pelaburan di luar negara.

Langkah ini bertujuan untuk memudahkan pengurusan perbelanjaan operasi oleh pemastautin tanpa memberikan kesan kepada pelaburan mereka.- MalaysiaGazette