Khalid Abdul Samad
Khalid Samad bercakap semasa sesi sidang media pada Majlis Sesi Town Hall bersama pemilik tanah kawasan MAS Kampung Baru di Pintu Utama, Perkarangan Masjid Jamek Kampong Bharu, Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Pemimpin Pas dan UMNO hanya memperalatkan agama Islam apabila mengheret penceramah bebas antarabangsa, Dr. Zakir Naik untuk mencampuri hal ehwal politik di negara ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad menegaskan, lebih malang lagi apabila dua parti pembangkang itu mempergunakan ikon Islam dari India itu bagi memenuhi agenda politik pihak tertentu.

“Orang yang memperalatkan dia (Zakir) untuk politik tempatan ini (sebenarnya) memperalatkan agama.

“Kita minta Zakir, jangan terlibat (politik tempatan), jangan benarkan dirinya untuk diperalatkan.

“Amat malang ada parti-parti politik Melayu Islam, cakap pasal Islam tapi nak memperkudakan Zakir Naik dengan melibatkan dia dalam politik tempatan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sesi Town Hall bersama pemilik tanah kawasan Penempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru di pekarangan Masjid Jamek Kampong Bharu, di sini, hari ini.

Khalid Abdul Samad
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad (kanan) menyempurnakan gimik perasmian sambil disaksikan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu, Tan Sri Datuk Setia Ambrin Buang (dua kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Zulkurnain Hassan (kiri) pada Majlis Sesi Town Hall bersama pemilik tanah kawasan MAS Kampung Baru di Pintu Utama, Perkarangan Masjid Jamek Kampong Bharu, Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 OGOS 2019

Beliau mengulas hasrat Pas dan UMNO untuk menganjur perhimpunan aman besar-besaran bagi menunjukkan solidariti kepada Zakir Naik susulan desakan agar penceramah bebas itu diusir keluar dari negara ini.

Sebelum ini dua menteri Kabinet iaitu Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, dan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran mahu Zakir, tidak lagi dibenarkan mengadakan ceramah dan mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat hubungan kaum serta ketenteraman awam di negara ini selain pelbagai pihak daripada kerajaan mendesak untuk dia dihantar pulang ke India.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini mengulangi pendirian beliau untuk tidak menghantar pulang Zakir ke negara asalnya kerana bimbang sekiranya pendakwah itu dibunuh di India nanti.

Khalid selaku Pengarah Komunikasi Parti Amanah berkata, Pas dan UMNO mempunyai agenda politik tertentu apabila mahu mengajurkan perhimpunan besar-besaran itu tanda solidariti mereka kepada Zakir.

“Pas dan UMNO nak memperalatkan Zakir, mereka ada agenda politik. Kalau kita fikirkan kepentingan Zakir, kita takkan gunakan dia untuk politik tempatan,” tegasnya.

Khalid turut mempertahankan pendirian pemimpin PH sebelum ini untuk menghantar pulang Zakir ke negara asalnya dengan menyifatkan gesaan itu sebagai satu perlindungan daripada Zakir diperalatkan di negara ini.

“Kita nak berikan perlindungan kepada Zakir, kita tak nak memperalatkan dia. Ini beza di antara Pas-UMNO dengan pendekatan kita (Pakatan Harapan).

“Pendekatan kita nak selamatkan dia, beri perlidungan kepada dia, kita tak nak peralatkan dia

“Ini menimbulkan masalah dan merosakkan hubungan di antara sesama kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette