miskin, orang asli
Gambar hiasan. foto HAZROL ZAINAL, 16 JANUARI 2019.

KUALA LUMPUR- Dakwaan Malaysia yang mengatakan negara ini merekodkan kadar kemiskinan paling rendah di dunia adalah kerana ia menggunakan garisan kemiskinan yang rendah dengan tidak mengambil kira kumpulan penduduk terjejas serta tidak menggambarkan kos hidup sebenar.

Menurut Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi miskin tegar dan hak asasi, Philip Alston, dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh kerajaan Malaysia sebelum ini adalah tidak tepat.

“Tidak dinafikan Malaysia berjaya mencatatkan pertumbuhan membanggakan dalam usaha mengurangkan kemiskinan sejak 50 tahun lalu namun begitu dakwaan rasmi yang mengatakan kadar kemiskinan telah dibasmi sepenuhnya atau hanya berlaku dalam kalangan kelompok kecil yang tinggal di kawasan pedalaman sahaja, adalah tidak benar.

“Ini menyebabkan proses membuat dasar menerima kesan daripada maklumat tidak tepat itu,” katanya selepas mengakhiri lawatan ke negara ini selama 11 hari.

Angka rasmi kadar kemiskinan Malaysia jatuh daripada 49 peratus pada 1970 kepada hanya 0.4 peratus pada 2016.

Bagaimanapun, garisan kemiskinan negara meletakkan pendapatan RM980 sebulan (AS$235) bagi setiap isi rumah.

Ini bermakna sebuah keluarga empat beranak yang tinggal di bandar terpaksa hidup dengan wang sebanyak RM8 atau kurang daripada AS$2 seorang/hari.

“Garis kemiskinan yang diguna pakai oleh Malaysia ini sangat tragis dan rendah terutama bagi sesebuah negara yang sedang mencapai status berpendapatan tinggi.

“Tambahan pula pelbagai analisis bebas yang ketat telah mencadangkan kadar kemiskinan lebih realistik iaitu sebanyak 16-20 peratus dan kira-kira sembilan peratus isi rumah masih hidup dengan pendapatan kurang daripada RM2,000 (AS$479) sebulan.

“Kadar kemiskinan sebenar adalah lebih tinggi daripada apa yang dikeluarkan oleh data rasmi dan kerajaan perlu menilai semula cara pengiraan kadar kemiskinan supaya kedaifan yang dialami oleh rakyat Malaysia tidak ditutupi oleh kesilapan statistik.

“Kerajaan baharu perlu segera menimbang semula pendekatan yang diambil sekiranya mahu negara ini mencatatkan progres sebenar dalam menangani isu kemiskinan.

‘Di sebalik penjagaan kesihatan yang menghampiri taraf dunia serta kadar kemasukan ke sekolah menengah yang tinggi serta pertumbuhan pesat ekonomi, masih ramai rakyat yang masih tertinggal di belakang.

“Masih ramai lagi rakyat yang walaupun hidup di atas garis kemiskinan tetapi pada hakikatnya mereka adalah orang miskin,

“Saya bercakap dengan banyak keluarga yang tidak mampu membayar sewa rumah, tidak mampu menghantar anak-anak ke sekolah serta tidak mampu mendapatkan rawatan kerana kos pengangkutan yang tinggi.

“Menurunkan garisan kemiskinan akan menyebabkan pelaburan untuk mengurangkan kemiskinan tidak mencukupi.

“Selain itu, jaringan keselamatan sosial yang tidak mencukupi menyebabkan kerajaan tidak mampu memenuhi keperluan rakyat.

“Sistem pelindungan sosial yang berpecah-pecah pula akan menyebabkan hak rakyat untuk mendapatkan makanan, rumah dan pendidikan akan terjejas,” katanya.

Tambah Alston, orang miskin di Malaysia turut tidak mendapat layanan yang adil dari segi hak sivil dan politik termasuk di dalam penjara serta sistem perundangan.

“Orang asli menderita kadar kemiskinan yang lebih tinggi walaupun kerajaan melaung-laungkan komitmen untuk menjaga hak mereka.

“Tanah adat milik mereka juga turut terancam sehingga menjejaskan kehidupan, makanan dan akses kepada perubatan tradisional.

“Saya sangat tidak berpuas hati apabila mendengar pegawai kerajaan bercakap bahawa masyarakat Orang Asli perlu “beradaptasi” dan berhijrah ke kawasan bandar bagi memastikan hak mereka terus terpelihara.

“Berjuta bukan warganegara termasuklah pendatang, pelarian dan golongan tanpa kerakyatan dihalang daripada memasuki sistem persekolahan serta berhadapan dengan pelbagai halangan untuk mendapatkan rawatan kesihatan.

“Mereka juga tidak dibenarkan untuk bekerja secara sah namun begitu golongan ini secara sistematik tidak termasuk dalam statistik rasmi kadar kemiskinan.

Wakil Khas PBB itu mengadakan lawatan ke Kuala Lumpur, Selangor, Sarawak, Sabah dan Kelantan sepanjang 11 hari berada di Malaysia.

Beliau dengan pegawai-pegawai kerajaan persekutuan dan negeri, agensi kebangsaan, masyarakat awam, para akademia dan orang miskin bandar dan pedalaman.

Alston turut bertemu pengendali soup-soup kitchen, rumah perlindungan wanita dan kanak-kanak, penghuni rumah pangsa, pusat orang kelainan upaya dan masyarakat Orang Asli.

“Rakyat Malaysia yang saya temui perlu diberikan sokongan dan diberi layanan yang lebih baik berbanding hanya dibuai dengan kenyataan kerajaan bahawa kemiskinan di Malaysia tidak wujud.

“Malaysia telah melakukan progres sebenar di dalam menyatakan komitmen mereka tetapi kerajaan baharu tidak sepatutnya menafikan kewujudan golongan miskin dan terpinggir.

“Kerajaan sepatutnya meningkatkan usaha untuk memenuhi hak golongan tersebut,” tegasnya.

Laporan yang dibuat Alston itu akan dibentangkan dalam satu laporan komprehensif yang lengkap dengan kesimpulan dan cadangan kepada Majlis Hak Asasi di Geneva, Jun tahun depan.- MalaysiaGazette