MIT

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia mengenakan duti anti-lambakan afirmatif selepas memuktamadkan penyiasatan anti-lambakan mengenai besi atau keluli bukan aloi gegelung gulungan sejuk (CRC) dengan kelebaran melebihi 1300mm (dagangan subjek) yang diimport dari China, Jepun, Republik Korea dan Republik Sosialis Vietnam.

Dari China, duti anti-lambakan dikenakan terhadap Angang Steel Company Limited (4.82%), Maanshan Iron and Steel Co., Ltd. (4.76%), Shougang Jingtang United Iron & Steel Co., Ltd. (8.74%) dan lain-lain 26.38%.

Manakala Jepun, semua pengeluar/pengeksport 26.39%; Korea –  POSCO (tiada) dan lain-lain (3.84%).

POSCO Vietnam Company Limited (7.70%) dan lain-lain (20.13%).

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, kerajaan juga memutuskan di dalam Penentuan Muktamad tersebut bahawa duti anti-lambakan ini tidak akan dikenakan ke atas tin mill black plate dan dagangan subjek untuk kegunaan akhir automotif dan transformer’s finwall.

Kutipan duti anti-lambakan ini akan dikuatkuasakan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia selama lima tahun mulai 25 Disember 2019 hingga 24 Disember 2024.

Penyiasatan ini telah dimulakan selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 dan Peraturan-Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994 susulan dari petisyen yang difailkan oleh Mycron Steel CRC Sdn. Bhd., pengeluar besi atau keluli bukan aloi gegelung gulungan sejuk.

Pempetisyen mendakwa pengimportan dagangan subjek dari negara-negara berkenaan dibawa masuk ke Malaysia dengan harga yang lebih rendah daripada harga yang dijual di pasaran domestik negara-negara tersebut dan telah menyebabkan kemudaratan material kepada industri tempatan di Malaysia.

Menurutnya, pengenaan duti anti-lambakan terhadap import dagangan subjek dari negara-negara terbabit dijangka
akan menangani isu amalan perdagangan yang tidak adil.

Pihak berkepentingan seperti pengimport, pengeluar/pengeksport asing dan persatuan-persatuan berkaitan dengan penyiasatan boleh mendapatkan salinan versi tidak sulit Penentuan Muktamad dengan membuat permohonan bertulis kepada Pengarah, Seksyen Amalan Perdagangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Aras 9, Menara MITI, No. 7, Jalan Sultan Haji Ahmad Shah, 50480 Kuala Lumpur, Malaysia. – MalaysiaGazette