Datuk Hasni Mohammad

KUALA LUMPUR – Iskandar Malaysia merekodkan pelaburan berjumlah RM16 bilion pada separuh pertama tahun 2020.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad percaya koridor ekonomi berkenaan mampu menarik minat pelabur walaupun berhadapan dengan suasana mencabar penularan Covid-19, sekaligus  mencapai sasaran pelaburan sebanyak RM383 bilion menjelang 2025.

Menurut beliau, penularan virus itu telah memberi ruang dan masa untuk kerajaan menilai dan mengkaji semula strateginya dalam mencapai sasaran pelaburan pada ketika mendepani norma baru dan perubahan yang perlu dihadapi.

“Saya percaya Malaysia telah melakukannya dengan baik dalam mengurus pandemik Covid-19 dan ia telah banyak membantu negara ini untuk kembali pulih dalam tempoh sepantas mungkin. Ia ditambah dengan pengumuman Tujuh Ikhtiar Makmur Johor bagi memperkukuh keyakinan pelabur di Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Iskandar Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan kumulatif sebanyak RM332.11 bilion antara 2006 sehingga Jun 2020 dan daripada jumlah itu, 60 peratus atau RM199.27 bilion adalah pelaburan domestik.

Baki 40 peratus atau RM132.84 bilion yang merupakan pelaburan dari luar negara dengan China, Singapura, Amerika Syarikat, Jepun dan Belanda mendahului senarai negara pelabur.

Hasni berkata, Iskandar Malaysia memiliki kelebihan dan kekuatan menerusi perkongsian dengan ramai rakan-rakan niaga dan pemegang taruh, lokasi strategik dan sumber tenaga insan yang telah tersedia.

Ia merupakan antara faktor bagi menarik pelaburan ke Iskandar Malaysia sekaligus membantu di peringkat serantau dan negeri Johor mencapai sasaran ditetapkan, ujarnya yang juga Pengerusi Bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

Sementara itu, Hasni memberitahu, IRDA sedang sedang mengkaji semula Rancangan Pembangunan Komprehensif II (CDPii) Iskandar Malaysia bagi memastikan pembangunan mampan untuk rakyat yang tinggal dan bekerja di koridor ekonomi itu.

“Kajian semula itu adalah sejajar dengan Rancangan, Dasar dan Peruntukan Perbelanjaan Kerajaan di peringkat Persekutuan, Negeri dan Kerajaan Tempatan, agenda dan piawaian antarabangsa,” Katanya.

Dalam pada itu, Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim, berkata, pihaknya terus menemui pelabur bagi memperkukuh jalinan hubungan yang sudah sedia terjalin.

“Dijangkakan kebanyakan pelabur akan mengkaji semula rancangan mereka yang setakat ini tidak diketahui dalam tempoh yang cepat pada peringkat ini,” katanya.

Tambah beliau, ini kerana mungkin masa lebih panjang diperlukan untuk mereka mengatur rancangan pelaburan. – MalaysiaGazette