Pengurus Besar Qicheng Derui Group Ltd, He Yi Feng bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Kilang ke-33 Qicheng Derui Group Limited (Qicheng) di Ning Guangsu, Xi'an, China. foto HAZROL ZAINAL, 28 OKTOBER 2018.

GANSU, XI’AN – Qicheng Derui Group Limited (Qicheng) bakal menjadikan Iskandar, Johor sebagai pusat sehenti bagi pengeluaran bahan binaan prafabrikasi kediaman di Malaysia.

Kilang prafabrikasi itu akan menghasilkan siling dan lantai, dijangka mula beroperasi pada bulan depan melalui anak syarikatnya, Qicheng Derui (M) Sdn. Bhd.

Qicheng adalah sebuah kumpulan syarikat penyedia perkhidmatan bersepadu prafabrkasi termasuk penyelidikan dan pembangunan, pengeluaran dan pemasangan prafabrikasi bagi kediaman bertingkat rendah yang berpangkalan di China.

Prafabrikasi kediaman adalah bahan binaan pasang siap utama bagi pembinaan sebuah kediaman ‘berteknologi hijau’ yang dihasilkan di kilang dengan mempunyai standard tertentu bagi pembinaan dan perhiasan.

Teknologi itu membolehkan kediaman dibina dalam tempoh yang singkat dan kosnya jauh lebih murah dan menambah baik kualiti rumah.

Pengurus Besar Kumpulan Qicheng, He Yi Feng berkata, kilang pertama yang akan dibuka di Iskandar Puteri itu merupakan kemunculan awal syarikat tersebut di Malaysia dalam meluaskan perniagaan prafabrikasi kediaman di negara ini.

MGF28102018_PELANCARAN KILANG QICHENG21
Pengurus Besar Qicheng Derui Group Ltd, He Yi Feng (tengah) bergambar kenangan bersama para media Malaysia pada Majlis Pelancaran Kilang ke-33 Qicheng Derui Group Limited (Qicheng) di Ning Guangsu, Xi’an, China. foto HAZROL ZAINAL, 28 OKTOBER 2018.

Kilang seluas 200 ekar itu telah dibeli oleh anak syarikatnya dua tahun lalu.

Menurutnya, kilang di Iskandar itu merupakan pelaburan awal Qicheng membabitkan sejumlah RM10 juta sebelum membuka kilang-kilang lain berkaitan dengan prafabrikasi pada tahun 2020.

“Kilang prafabrikasi di Iskandar (Johor) ini merupakan pemangkin kepada Qicheng untuk meneroka peluang dan pasaran bahan-bahan binaan itu sebelum meluaskan pengeluaran bahan-bahan prafabrikasi yang lengkap bagi sebuah kediaman.

“Perancangan kami seperti mana di China, yang mana Qicheng mengeluarkan bahan-bahan binaan prafabrikasi yang lengkap,” katanya pada sidang media selepas pembukaan kilang ke-33 di Ning Guangsu, Xi’an, China, baru-baru ini.

 

MGF28102018_PELANCARAN KILANG QICHENG06
Kilang bahan binaan prafabrikasi yang ke-33 milik Syarikat Qicheng Derui Group Limited (Qicheng) di Ning Guangsu, Xi’an, China. foto HAZROL ZAINAL, 28 OKTOBER 2018.

Bermula pada tahun 2000, Qicheng kini memiliki 33 kilang di beberapa wilayah di China yang menghasilkan komponen lengkap prafabrikasi bagi kegunaan tempatan sahaja.

Yi Feng berkata, Malaysia adalah negara pertama yang dipilih oleh kumpulan syarikat itu untuk membina platform perniagaan prafabrikasi.

Ia mengambil kira hubungan baik antara negara ini dan China sejak sekian lama, selain mengambil peluang dalam inisiatif One Belt One Road (OBOR) oleh ekonomi kedua terbesar dunia.

OBOR merupakan usaha China membina jalinan hubungan dengan 65 buah negara di sepanjang laluan sutera lama dan juga laluan maritim yang terkenal pada satu masa dahulu.

Lebih utama, kata Yi Feng, Qicheng mahu mahu meneroka potensi industri prafabrikasi yang masih baharu di negara ini.

MGF28102018_PELANCARAN KILANG QICHENG10
Pengurus Besar Qicheng Derui Group Ltd, He Yi Feng (tengah) meluangkan masa dengan meilhat salah satu bahan binaan prafabrikasi milik syarikatnya pada Majlis Pelancaran Kilang ke-33 Qicheng Derui Group Limited (Qicheng) di Ning Guangsu, Xi’an, China. foto HAZROL ZAINAL, 28 OKTOBER 2018.

Katanya, syarikat itu juga mengintai peluang untuk memasarkan pengeluaran bahan-bahan binaan prafabrikasi ke Singapura dan pasaran Asia Tenggara yang lain.

Tambah beliau, kilang baharu yang akan menggunakan 80 peratus sumber-sumber tempatan bakal memberi peluang pekerjaan kepada 300 orang pekerja.

“Peluang pekerjaan itu untuk kilang di Iskandar memandangkan Qicheng mempunyai rancanagan untuk menjadikan Kelantan bandar perabot serta Selangor dan Pahang pula ladang durian terbesar milik kami,” ujarnya. – MalaysiaGazette