Ahmad Fadhli Shaari
Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Ketua Dewan Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari mendakwa berlaku dwistandard berhubung tindakan yang yang dikenakan terhadap dua individu berbeza yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur rasis.

Menurut beliau, seorang atlet yang dikatakan memberi komen secara bergurau telah dicop rasis dan digantung daripada daripada mewakili negara.

“Seorang lagi pula, Timbalan Ketua Menteri, mengeluarkan kenyataan menggambarkan orang Melayu ‘terlalu dominan’ dalam perkhidmatan awam, sehingga hari ini masih berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Menteri.

“Jangan butakan mata kita untuk membuat penilaian!” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Jumaat lalu, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mereformasikan perkhidmatan awam yang didakwanya didominasi oleh orang Melayu dan dasar itu dilaksanakan pada era kepimpinan terdahulu di bawah Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Katanya, hujah lama yang memihak kepada penguasaan orang Melayu dalam perkhidmatan awam untuk mengimbangi penguasaan ekonomi kaum Cina, tidak lagi terpakai kerana ia digunakan oleh Dr. Mahathir untuk menginstitusikan hegemoni Melayu dalam sektor awam, khususnya perkhidmatan awam.

Beliau turut mendakwa terdapat juga diskriminasi kaum secara rahsia apabila ia berkaitan dengan prospek kenaikan pangkat untuk bukan Melayu dalam sektor awam.

Terdahulu, pemain hoki kebangsaan, Hanis Nadiah Onn digantung dan tidak dibenarkan mewakili negara pada temasya Sukan Sea Kemboja 2023 selepas didapati menaikkan komen berbaur perkauman semasa konsert AR Rahman pada 28 Januari 2023.

Keputusan itu dibuat Khamis lalu oleh Jawatankuasa Siasatan Majlis Sukan Malaysia (MSN) dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) yang dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal.

KBS berkata, dalam siasatan yang dijalankan, Hanis mengakui telah memuat naik ciapan komen ‘bau best la kat dalam tu’ berserta emoji tertawa sehingga mengeluarkan air mata kepada gambar dan video keadaan konsert yang dimuat naik oleh sebuah portal berita. – MalaysiaGazette