Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin. Foto MOHD ADZLAN, 09 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Seorang pekerja pusat asuhan kanak-kanak di Bandar Sri Permaisuri Cheras, di sini, hari ini ditahan polis kerana disyaki mendera seorang kanak-kanak.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada mangsa bapa pada jam 11.28 pagi semalam

Katanya, polis terkesan dua klip video berdurasi 1 minit 10 saat dan 56 saat di aplikasi Facebook pada jam 9/39 pagi ini yang memaparkan seorang perempuan mencederakan seorang kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun di sebuah pusat asuhan kanak-kanak yang dilaporkan itu.

“Siasatan dan pengamatan polis menerusi klip video tular itu mendapati mangsa berumur dua tahun itu dicederakan suspek wanita yang dipercayai pengasuh di pusat jagaan kanak-kanak tersebut.

“Hasil siasatan dan bertindak atas maklumat laporan polis bapa mangsa itu, pada Selasa jam 1 tengahari sepasukan anggota dari Bahagian D11 IPK Kuala Lumpur telah membuat tangkapan ke atas seorang wanita warga tempatan berusia 28 tahun untuk membantu siasatan kes berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, suspek yang dikenalpasti sebagai pekerja di pusat jagaan kanak-kanak itu telah ditahan polis selepas datang ke Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kuala Lumpur untuk membantu siasatan.

Katanya, mangsa mengalami bengkak di dahi dan calar di tangan selain mengalami kemerahan di pipi kanan dan kiri.

“Suspek ditahan selama 24 jam oleh D11 dan telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai mengambil keterangan daripadanya,” ujarnya.

Menurut Zam Halim, kertas siasatan dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Orang ramai yang maklumat berhubung kejadian itu diminta menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berdekatan. – MalaysiaGazette