Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Penerbangan Malaysia Airlines yang dijadualkan berlepas dari Kuala Lumpur ke Chennai di India telah dibatalkan berikutan penutupan Lapangan Terbang Chennai (MAA) akibat banjir.

Menurutnya, penerbangan MH182 yang dijadualkan berlepas dari Kuala Lumpur pada jam 9.10 pagi pada 5 Dis 2023, ke MAA telah dibatalkan.

“Penerbangan balik (melalui) MH183 juga akan dibatalkan,” katanya.

Lapangan terbang di Chennai telah ditutup sejak 9.17 pagi semalam berikutan cuaca buruk.

“Penumpang yang menempah penerbangan ini boleh memilih untuk menangguhkan perjalanan sehingga 19 Disember 2023, atau meminta untuk ditempah semula dalam penerbangan ke Bangalore dan Hyderabad (tertakluk kepada ketersediaan) atau memilih bayaran balik,” kata syarikat penerbangan itu.

Untuk bantuan segera, ia meminta penumpang menghubungi Pusat Hubungan Global Malaysia Airlines di 1 300 88 3000 (dalam Malaysia) atau +603 7843 3000 (di luar Malaysia).

Menurut laporan berita, Chennai telah dilanda hujan dan banjir ketika Taufan Michaung menghampiri bandar itu.
– BERNAMA