Seramai 600 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bakal mendapat manfaat daripada program Percuma Jer yang bakal disiarkan di stesen televisyen TV AlHijrah mulai 1 Februari ini hingga 23 April depan.

KUALA LUMPUR – Stesen televisyen milik kerajaan TV AlHijrah bakal mempertaruhkan program baharu iaitu Percuma Jer bermula pada 1 Februari depan.

Ketua Pegawai Operasi TV AlHijrah, Nadzariah Mohamed berkata, menerusi program tersebut penonton berpeluang mengurangkan risiko ketidakadilan, penipuan dan  penindasan dalam aktiviti perekonomian jual beli.

Menurutnya, ia juga sebagai menyahut Pelan Transformasi Al-Falah diperkenalkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang menumpukan kepada Teras Kesejahteraan Insan bagi memperkasa kemampanan ekonomi Islam di samping kebajikan sosial dan perpaduan ummah.

“Penonton program Percuma Jer berpeluang untuk menerima sampel barangan tersebut dahulu secara percuma seterusnya membuat keputusan tepat untuk proses jual beli selanjutnya.

“Saya percaya melalui proses pemberian sampel barangan produk yang dijual secara percuma ini membantu para pembeli untuk membuat pembelian bijak.

“Secara tidak langsung, etika Islam dalam jual beli dapat dijaga dan dicapai dan dengan itu, kebajikan pelanggan dan pengguna terjamin dalam kontrak jual beli,” katanya pada majlis pelancaran program Percuma Jer di Shah Alam baru-baru ini.
Hadir sama, Pengasas Pasak Sdn Bhd, Ku Addy Fazly Ku Radin.
Percuma Jer diperkenalkan bagi memperkasa kemampanan ekonomi Islam di samping memperkukuh kebajikan sosial dan perpaduan ummah.

Mengulas lanjut, Nadzariah menambah, pihaknya menyasarkan seramai 600 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bakal mendapat manfaat daripada program Percuma Jer yang bakal disiarkan hingga 23 April depan.

Beliau berkata, dengan hanya caj sebanyak RM1,500 bagi memasuki slot program ini, usahawan tersebut boleh memperkenalkan apa-apa produk dengan syarat ia lulus pemeriksaan daripada agensi kerajaan.

“Kalau melihat pakej ini murah dan ini adalah salah satu niat kami untuk membantu usahawan PKS memajukan perniagaan mereka.

“Sehingga kini, sebanyak 100 usahawan yang menjual pelbagai produk seperti produk kecantikan, makanan, pakaian dan lain-lain telah mengesahkan untuk menyertai program ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette