Peserta Program Ternakan Arnab Pedaging Komuniti Wanita (TAPAKNita) diberi demonstrasi cara memasak Nasi Arnab Setalam dalam Kursus Produk Hiliran di Dewan Wawasan, Bukit Sagu 2, Kuantan hari ini.

KUANTAN – Pelbagai produk hiliran boleh dihasilkan daripada ternakan arnab pedaging yang berusia seawal tiga bulan.

Menerusi Program Ternakan Arnab Pedaging Komuniti Wanita (TAPAKNita), penternak diberi pendedahan mengenai penghasilan produk daripada ternakan arnab pedaging yang boleh mengembangkan pendapatan mereka.

Presiden Persatuan Wanita Inspirasi Negara (WIN), Norhimah Aziz ketika ditemui MalaysiaGazette berkata, pihaknya menawarkan kursusĀ  itu secara percuma bagi 50 orang peserta wanita yang berminat.

Presiden Persatuan Wanita Inspirasi Negara (WIN), Norhimah Aziz

Program jelajah dibuat di empat negeri iaitu di Johor (Batu Pahat); Perak (Behrang); Pahang (Felda Lakum, Bukit Sagu 2 dan Chini dan akhirnya di Selangor.

Kursus Tenakan Arnab Pedaging ditawarkan secara percuma bagi mereka yang berminat untuk mencari peluang perniagaan baru atau selepas hilang pekerjaan.

Dalam program Bukit Sagu 2, para peserta diajar mengenai kaedah membuang tulang (debone) arnab pedaging dengan betul selain beberapa menu masakan yang boleh dipasarkan di pasaran tempatan.

Salah seorang peserta, Zulaida Rosli, 39, memberitahu dia sanggup datang dari Jerantut untuk menyertai program terbabit.

“Semalam tak sempat di Felda Lakum, jadi hari ni gerak daripada Jerantut pukul 6 pagi sebab memang nak belajar,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Zulaida Rosli

BeliauĀ  teruja dapat mempelajari lebih banyak tips penjagaan arnab dan penghasilan produk daripada ternakan arnab pedagingnya.

Bermula dengan empat sangkar arnab, Zulaida kini mengambil alih lima lagi sangkar yang dipinjam daripada peserta ternakan arnab pedaging yang tidak berjaya di i Jerantut.

“Jadi sekarang saya mengusahakan lebih 100 ternakan arnab pedaging,” jelasnya.

Menceritakan detik permulaan menceburkan diri dalam industri itu, Zulaida mengakui pada mulanya kecewa apabila sebanyak 70 ekor arnabnya mati gara-gara beliau kurang pengetahuan penjagaannhya.

Namun bertitik tolak daripada pengalaman itu, beliau berusaha menimba ilmu lebih mendalam berkenaan teknik yang betul dalam penjagaan arnab pedaging.

“Alhamdulillah, dengan teknik penjagaan yang lebih betul, saya pernah bela arnab sampai seberat 2.8 kilogram (kg),” jelasnya.

Kini, Zulaida berjaya menjual 35 ekor arnab, dengan keuntungan lebih RM1,000 hasil daripada generasi kedua arnab induknya.

“Saya sanggup pergi ke rumah peserta yang berjaya hingga ke Jengka untuk dapatkan tips dan knowledge sharing dan ilmu yang diajar hari ini membuat saya lebih berminat dan bersemangat untuk terus maju dalam industri ternakan arnab pedaging ni,” katanya.

Sementara itu, seorang peneroka Generasi Kedua Bukit Goh, Azizan Arifin, 41, yang menternak 35 ekor arnab pedaging juga mahu menambah pegetahuan berkenaan produk hiliran.

“Kaedah membuat arnab perap, sate, salai. Lebih kepada makanan lah, sebab kalau di Kuantan ni senang untuk dipasarkan,” katanya.

Azizan Arifin

Beliau juga berterima kasih kepada pihak pengurusan Felda yang membantu menyediakan banyak program berbentuk keusahawanan peneroka lebih-lebih lagi bagi generasi kedua sepertinya.

Program TAPAKNita menawarkan peluang perniagaan dalam industri arnab pedaging kepada wanita dan golongan sasar dengan modal serendah RM 5,000.

Peserta akan diberikan seekor arnab jantan dan lima ekor arnab betina berumur lima bulan bersama dua set sangkat lengkap sistem pemakanan dan minuman, bekalan ubatan termasuk vitamin, 50 kg pallet makanan premium dan pokok ketum ayam serta ginseng jawa. – MalaysiaGazette