Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah mengenal pasti kawasan seluas 4,839 hektar kawasan di Sabah dan Sarawak akan dibangunkan untuk projek penanam padi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kawasan itu membabitkan 2,158 hektar di Sabah iaitu di Beluran dan Kota Belud.

Menurut beliau, di Sarawak pula, kawasan seluas 2,680 hektar akan diberi fokus di Batang Lupar.

“Saya ingin mengesahkan 50,000 hektar kawasan di Sabah dan Sarawak adalah perancangan jangka panjang,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Sebelum ini beliau berkata, Felcra Berhad akan bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak dan Sabah dalam membangunkan antara 15,000 hingga 20,000 hektar tanah di kedua-dua negeri berkenaan, bagi tujuan penanaman padi secara berkelompok.

Penanaman padi itu dijangka membantu kerajaan menstabilkan stok penimbal beras sekali gus meningkatkan keterjaminan makanan negara.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid memberitahu, penggunaan teknologi baharu akadigunakan untuk penanaman padi itu dengan menggunakan dron dan tidak lagi menggunakan kaedah biasa.

Ia juga kata beliau melibatkan aktiviti pembajakan dan proses menuai. – MalaysiaGazette