Pemain Kuala Lumpur City FC, Mohd Safee Sali mengawal bola tanpa dihalang pemain PSM Makassar pada perlawanan Piala AFC bagi kumpulan H di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras. Foto HAZROL ZAINAL, 24 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Safee Sali diumumkan sebagai personaliti jemputan stesen radio Era mengendalikan segmen baharu ‘Super Safee ERA’ bersiaran setiap hujung minggu.

Pengumuman itu dibuat pada majlis sambutan ulang tahun ke-25 radio Era yang diadakan di Nu Sentral semalam.

Awal tahun ini, Safee atau Mohd Safee Mohd Sali, 39, mengumumkan bersara dalam arena bola sepak selepas hampir 20 tahun berada dalam arena itu.

Dia pernah berkhidmat untuk pasukan termasuk Kuala Lumpur (KL) City, Selangor, PKNS, PJ City, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Pelita Jaya (Indonesia).

Untuk rekod, Safee meledak lebih 136 gol bersama kelab dan mengumpul 47 jaringan buat pasukan kebangsaan, Harimau Malaya.

Safee membantu Harimau Malaya memenangi kejuaraan tunggal di Piala AFF pada tahun 2010 dengan dia turut dinobatkan sebagai penjaring terbanyak pada edisi itu selepas meledak lima gol.

Sementara itu, Super Safee ERA merupakan segmen yang berkongsi info terkini berkaitan sukan tempatan dan antarabangsa yang merangkumi berita, topik perbualan dan temu bual bersama tetamu undangan dari dalam dan luar bidang sukan.

Segmen tersebut akan ke udara mulai 12 Ogos, setiap hari Sabtu, pukul 10 pagi.

Menerusi segmen yang akan dikendalikan, Safee tidak hanya mengulas tentang sukan, malah tetamu yang bakal diundang juga tidak terhad kepada ahli sukan sahaja.

Selain Super Safee Era, Era FM turut memperkenalkan segmen baharu hujung minggu termasuk Seram Sabtu Era iaitu kisah seram perkongsian daripada pendengar yang akan disampaikan oleh personaliti misteri, Throwbaek Era dan Soundtrek Era. – MalaysiaGazette