Pihak keselamatan melakukan kerja-kerja menyelamat membabitkan sebuah bas dan SUV di California. Foto CNN

BANNING (California) – Seramai 13 orang cedera selepas tayar bas Greyhound meletup dan terbabas lalu merempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan merempuh dinding pembahagi tengah di lebuh raya padang pasir California.

Terdapat 33 orang penumpang di dalam bas ketika ia dalam perjalanan dari Los Angeles ke Phoenix di Interstate 10, kata Pegawai Peronda Lebuhraya California, Jason Montez.

Kesemua mereka yang cedera telah dibawa ke hospital tetapi hanya seorang daripada mereka yang cedera parah.

Dua daripada mangsa yang cedera adalah penumpang kenderaan SUV yang dirempuh bas itu dan 11 lagi penumpang bas.

Bas itu bergerak pada kelajuan antara 96 hingga 105 kilometer sejam apabila tayar hadapan kirinya meletup. – AP