Penduduk Babakan mencuci rambut beramai-ramai menggunakan jerami padi dalam tradisi keramas merang untuk menyambut Ramadhan

JAKARTA- Ratusan penduduk Babakan di Tangeran, Banten membanjiri Sungai Cisadane untuk mandi dalam satu sambutan tradisi keramas merang atau mencuci rambut seseorang dengan menggunakan jerami padi bagi menyambut bulan Ramadhan.

“Penduduk Babakan melakukan keramas merang untuk menyambut Ramadhan.

“Ia adalah satu amalan tradisi, saya bangga kerana kita masih lagi meneruskan tradisi tersebut kepada anak-anak supaya ia kekal menjadi sebahagian daripada budaya Tangerang.

“Keramas merang bukan sahaja bertujuan untuk membersihkan badan dan mengeratkan silaturahim tetapi juga menjadi simbol kepada pembersihan hati,” kata Datuk Bandar Tangerang, Arief R. Wismansyah.

Tradisi keramas merang dilaporkan bermula awal 1990-an.

“Ibu bapa kami masih menggunakan jerami padi untuk mencuci rambut mereka tetapi sekarang sukar untuk mendapatkan jerami jadi kadang-kala kami campurkannya dengan syampu,” kata seorang penduduk Babakan, Indah.

Walaupun menyedari jumlah sampah yang dibuang ke dalam sungai selepas upacara tersebut, penduduk Babakan masih menyertainya.

“Kami lakukannya kerana ia adalah tradisi,” katanya. – MalaysiaGazette