KUALA LUMPUR – Jika India boleh berbangga dengan pasangan suami isteri, Dhanush dan Aishwarya Rajinikanth, Malaysia tidak kurang hebat apabila memiliki Denes Kumar dan Dr Vimala Perumal.

Sama seperti pasangan Dhanush – Aiswarya, Denes dan Dr Vimala masing-masing memainkan peranan sebagai pelakon dan pengarah filem.

Bakal bergandingan dalam siri terbaru trilogi filem Pasanga iaitu Vedigundu Pasangge, ia adalah kesinambungan dua filem terdahulu, Vilaiyaatu Pasangge terbitan tahun 2011 dan sekuel, Vetti Pasanga pada 2014.

Siri terbaru ini lebih padat dengan aksi dan plot mendebarkan walaupun masih mengekalkan genre drama aksi komedi seperti yang ditampilkan pada dua filem terdahulu.

Filem terbaru arahan Dr Vimala itu ternyata menampilkan kematangan beliau dalam membuai emosi penonton menerusi pelbagai babak menarik yang diperhebatkan dengan garapan dialog serta susunan plot kemas dan teratur.

Memiliki ijazah Doktor Falsafah menerusi penyelidikan dalam jurusan Filem dan Komunikasi di Universiti Putra Malaysia (UPM), beliau adalah satu-satunya pengarah filem wanita Malaysia dengan kelayakan pendidikan seumpama ini.

Kebijaksanaan Dr Vimala diterjemahkan dalam filem yang menelan belanja RM1.5 juta ini termasuk menerusi pemilihan barisan pelakon handalan untuk membawakan watak masing-masing dengan berkesan.

Dijadualkan menembusi pasaran tempatan pada 26 Julai ini, Vedigundu Pasangge juga bakal merancakkan industri perfileman antarabangsa apabila ditayangkan di pawagam Singapura, India Sri Lanka dan UK.

Mengkagumkan apabila filem tempatan Tamil kini mampu menembusi pasaran antarabangsa malah diterima dunia luar sebenarnya sesuatu yang amat membanggakan.

Pembikinan filem yang mengambil masa dua tahun itu dianggap sebagai batu loncatan dalam membawa industri perfileman Tamil tempatan ke peringkat lebih tinggi apatah lagi apabila ia turut menggabungkan elemen tempatan dan global.

Vimala Denes

Sementara itu, Denes Kumar yang juga penerbit Vedigundu Pasangge ketika berbicara dengan MalaysiaGazette berkata, beliau sangat teruja apabila diberitahu pihaknya boleh menayangkan filem itu di United Kingdom buat kali pertama.

“Rasa seronok dan teruja pada masa yang sama, sememangnya satu kebanggaan yang tidak dapat diluahkan melalui perasaan ketika ini. Anak tempatan mampu bergerak ke hadapan dan kami membawa nama Malaysia.

“Tarikh tayangan di India masih belum diputuskan memandangkan terdapat isu teknikal tetapi kami berharap untuk melakukan pada masa yang sama,” ujarnya.

Aktor handalan negara berusia 36 tahun itu turut membawakan watak protagonis dalam filem yang berkisarkan kepada kes jenayah di Malaysia, khususnya dalam kalangan komuniti India tempatan.

“Filem ini bakal memikat hati penonton bersama sentuhan komedi sinis dan elemen percintaan jarak jauh antara dua watak utama,” katanya.

Vadigundu Pasangge terbitan Veedu Production ini menampilkan 150 pelakon tempatan dan India seperti Teejay Arunachalam, Shakthisree Gopalan, Sathyaprakash Dharmar, Datin Seri Shaila Nair dan Balan Kashmir.

Turut membintangi filem ini adalah pelakon utama filem ‘Adiwiraku’, Sangeeta Krishnasamy dan pelakon ‘Ola Bola’, Sarankumar Manokaran.

Filem ini juga menampilkan empat buah trak lagu yang kini menjadi popular dan kegilaan, antaranya ‘Vizhiye Kalangathey’ yang mencecah lebih sejuta tontonan dalam laman sosial, YouTube dan juga ‘Vaada Villayadu’, ‘Love Mood’ serta lagu tema Vedigunde Passaga yang juga menggunakan pengarah muzik India terkenal, Vivek Siva serta Mervin Perumal. -Malaysia Gazette

Vedigunde