Sir Bill Beaumont diberi mandat kali kedua menerajui Ragbi sedunia

LONDON – Bekas kapten pasukan ragbi England, Sir Bill Beaumont dipilih semula sebagai Pengerusi Persekutuan Ragbi Sedunia untuk empat tahun akan datang.

Jawatan yang berkuatkuasa serta merta itu akan tamat pada 2024.

Beaumont, 68 , menewaskan timbalannya yang juga bekas pemain Argentina, Agustin Pichot dengan memperolehi 28 undi berbanding Agustin hanya 23 undi.

Manakala Presiden Persatuan Ragbi Perancis, Bernard Laporte dipilih sebagai Naib Pengerusi persekutuan itu.

“Saya menghargai pengiktirafan ini dan mandat oleh Majlis Ragbi Sedunia untuk menerajui jawatan sebagai Pengerusi Persekutuan Ragbi Dunia sekali lagi.

“Saya ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada ahli-ahli kesatuan saya dan rakan serantau, ahli kesatuan keluarga Persekutuan Ragbi Sedunia dan ahli keluarga saya atas sokongan padu selama ini,” katanya.

Beaumont dipilih untuk menerajui persekutuan itu pada Julai 2016 bagi menggantikan Bernard Lapasset.

Pelantikannya akan disahkan pada Mesyuarat Tahunan Majlis Ragbi Dunia pada 12 Mei ini dan tempoh pentadbiran baharunya akan bermula selepas itu.

“Kita berjaya mencapai banyak kejayaan bersama demi kegemilangan sukan ragbi di serata dunia melibatkan ahli-ahli kita.

“Pada fasa kedua ini kita perlu berusaha lebih keras lagi dan saya kini berpeluang untuk mengusahakan mandat ini bersama Bernard untuk melaksanakan perubahan seimbang yang dirancang dalam dunia ragbi,” katanya. – MalaysiaGazette